top of page

Tragedi Bukit Kukus: Kerajaan negeri belum terima tuntutan


GEORGETOWN: Kerajaan negeri masih belum menerima sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berhubung tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, Oktober tahun lalu.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya maklum terhadap pendedahan yang dibuat Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus semalam, dan Yuta Maju Sdn Bhd (Yuta Maju) akan menjadi pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya jika terdapat tuntutan, terutama membabitkan keluarga mangsa.


“Setakat ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) belum terima apa-apa tuntutan tetapi jika ada, seperti tuntutan pampasan, ia adalah tanggungjawab kontraktor utama iaitu Yuta Maju.


“Adalah tanggungjawab mereka untuk menjalankan projek, termasuk faktor keselamatan di tapak pembinaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus semalam yang mendedahkan empat pihak termasuk MBPP bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini.


Selain MBPP, tiga pihak lain adalah kontraktor utama, Yuta Maju; jurutera perunding, GEA (M) Sdn Bhd; dan penyemak kejuruteraan bebas (ICE), iaitu G&P Professional Sdn Bhd.


Ditanya apakah kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan terhadap MBPP, Kon Yeow berkata pihaknya akan menunggu laporan penuh daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).


Malah, katanya, bagi menyelesaikan isu berkenaan, MBPP juga sudah mengambil langkah proaktif dengan melantik ICE sendiri dan jurutera dalaman.


“MBPP mengakui kekurangan pakar dalam menangani perkara ini, justeru mereka melantik sendiri jurutera dalaman dan ICE menggunakan perbelanjaan mereka sendiri,” katanya.


Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu tindakan tegas diambil terhadap pegawai MBPP, termasuk Datuk Bandar, Datuk Yew Tung Seang, yang didakwa cuai dalam mengawasi dan memantau projek berkenaan.


Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata tragedi yang meragut sembilan nyawa itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh dan tindakan tegas sepatutnya diambil terhadap MBPP, termasuk tindakan disiplin terhadap mereka yang terbabit.


“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan negeri membuat hebahan awam mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil dan penambahbaikan yang akan dilakukan dalam MBPP bagi mengelak tragedi sama berulang di masa hadapan.


“Kami turut menggesa hasil penemuan jawatankuasa siasatan didedahkan kepada awam demi ketelusan dan sikap bertanggungjawab,” katanya.


Dalam kejadian 19 Oktober tahun lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus, manakala tiga lagi cedera di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.


Projek bernilai RM530 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif yang menghubungkan antara Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul.


Sumber: Berita Harian


18 views
bottom of page