top of page

Tolak tepi kontraktor lewa


KEMENTERIAN Kerja Raya boleh menyenaraihitam kontraktor atau pemaju yang mengambil mudah berhubung pelan pengurusan trafik (TMP) hingga menyebabkan kemalangan atau kematian di setiap tapak projek pembinaan.


Timbalan Menterinya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, tindakan tegas itu sebahagian usaha kementerian bagi memastikan kontraktor lebih bertanggungjawab serta mematuhi segala prosedur di sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.


Beliau berkata, antara kelemahan yang dikesan di tapak pembinaan termasuk TMP yang tidak teratur, papan tanda dan isyarat keselamatan yang tidak cukup sehingga berisiko berlaku kemalangan serta mengundang kematian.


“Kita boleh menyenaraihitamkan mereka serta ucapkan sayonara untuk penganugerahan projek ratusan atau ribuan juta pada masa depan. Tindakan tegas ini perlu berbanding denda yang mampu dibayar.


“Saya mahu kontraktor dapat mencontohi Isedecor Bina Sdn Bhd yang menerima anugerah Johan Kontraktor Cemerlang 2017 bagi kategori TMP bagi projek kerja menaik taraf persimpangan Peringgit dan MITC” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka (Fasa 1: Pembinaan Persimpangan Peringgit dan Persimpangan MITC) yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Adly Zahari di Persimpangan MITC, hari ini.


Sementara itu, Adly berkata, kejayaan projek menaik taraf Persimpangan Peringgit dan MITC yang bernilai RM286 juta itu mampu mengurangkan tempoh perjalanan hingga 20 minit ke pusat bandar pada waktu puncak.


“Di peringkat kerajaan negeri, kita akan terus melihat beberapa inisiatif baharu dalam usaha membantu penguraian trafik di negeri ini.


“Ini termasuklah pembinaan jejambat baharu, perkhidmatan lampu isyarat pintar dan jajaran jalan raya baharu.


“Bagi Bajet 2019, kerajaan negeri memperuntukkan RM15 juta bagi kemudahan jalan raya termasuk pembinaan jalan baharu bagi mengurai trafik khususnya di luar bandar dalam usaha menambah baik mutu kemudahan awam di negeri ini,” katanya.


Sumber: Harian Metro


19 views
bottom of page