top of page

TNB selamatkan 5,000 pokok setahun


Tenaga Nasional Berhad (TNB)
PENGGUNAAN LSD dapat mengelakkan penebangan 5,000 pokok setahun untuk menyediakan 14,000 dram.

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan projek perintis menggunakan Light Steel Drum (LSD) dalam pembekalan kabel sebagai satu alternatif kepada dram kayu mulai pertengahan Mac depan.


Ini adalah satu lagi inisiatif sejajar komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).


Inisiatif ini mengelakkan penebangan 5,000 pokok setahun untuk menyediakan 14,000 dram bagi penggunaan pelbagai saiz kabel di mana projek ini dimulakan dengan Tenaga Cable Industries Sdn Bhd (TCI).


Sekiranya pelaksanaan ini memberi impak serta memberi manfaat kepada persekitaran maka ia akan dilanjutkan penggunaannya kepada pengilang kabel yang lain.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, projek perintis ini juga sebahagian daripada usaha proaktif TNB untuk menangani Skop 3 Pelepasan dalam memastikan ekosistem vendor dan rantaian bekalan TNB juga mematuhi piawaian ESG.


"Projek perintis LSD boleh guna semula itu dilaksanakan dengan jayanya sejak Mac tahun lalu dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah pada November tahun lalu.


"Sebenarnya kami sudah menukar cabaran kekurangan bekalan dram kayu menjadi peluang meneroka solusi baharu bukan sahaja menjamin pembekalan kabel, malah menyumbang kepada peningkatan komitmen terhadap ESG," katanya.


Menurutnya, projek perintis itu melalui usaha Bahagian Procurement & Supply Chain (P&SC) dengan kerjasama TCI dan Bahagian Rangkaian Pembahagian (DN) serta di enam tapak projek di sekitar Lembah Klang.


"Pemerhatian dan analisis mendapati penggunaan LSD adalah lebih berkesan dan tahan lasak berbanding Hybrid Drum.


"Setiap LSD boleh diguna semula sehingga lima kali, sekali gus dapat mengelak penggunaan dua hingga tiga batang pokok balak dan secara tidak langsung menyumbang kepada lebih banyak karbon dioksida dapat diserap oleh pokok yang diselamatkan," katanya.


Baharin berkata, kekurangan sumber kayu menyebabkan pembekal menaikkan harga dram kayu secara mendadak sehingga 50 peratus pada penghujung 2021 dan tempoh pesanan mendapat bekalan mengambil masa hingga empat minggu, lantas boleh menjejaskan urusan pembekalan kabel.


"Penggunaan LSD ini antaranya mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi iaitu kayu balak untuk pembuatan dram kabel, menjamin pembekalan kabel dan turut menyumbang kepada kelestarian ekosistem," katanya.


Menurutnya, selain memberi kesan positif kepada alam sekitar, LSD yang dipasang dengan alat pengesan untuk mengumpul maklumat termasuk lokasi dan status pergerakan, turut membantu langkah mencegah kecurian.


Sumber: Harian Metro


9 views

Comentarios


bottom of page