top of page

TNB sedia RM90 juta bina stesen pengecas kereta elektrik seluruh negara


Tenaga Nasional Bhd (TNB)
TNB dalam perancangan membina stesen pengecas DC EV di jalan raya utama

Tenaga Nasional Bhd (TNB)

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan RM90 juta bagi membina kemudahan stesen pengecas pantas arus terus (DC) kenderaan elektrik (EV) di seluruh Malaysia dalam tempoh dua tahun.


Pengarah Program Pejabat Pengurusan Projek Kenderaan Elektrik TNB, Mohd Junaizee Mohd Noor, berkata terbaharu, TNB membina tiga stesen pengecas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh di Melaka, Tapah di Perak dan Paka di Terengganu.


"Kita sasar untuk membina tujuh lagi stesen pengecas DC di Malaysia sehingga akhir tahun ini di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).


"Insya-Allah, hujung tahun ini TNB akan memiliki 10 stesen pengecas DC EV di sepanjang lebuh raya," katanya kepada Bernama selepas sesi perbincangan panelis di Persidangan EV 2023 hari ini.


Selain itu, beliau berkata TNB juga dalam perancangan membina stesen pengecas DC EV di jalan raya utama.


Mohd Junaizee berkata, TNB komited dalam memupuk keyakinan pengguna EV untuk perjalanan jarak jauh dan tidak ragu-ragu apabila berdepan masalah kehabisan bateri di lebuh raya.


"Dengan adanya stesen pengecas DC ini, kita mahu kurangkan kebimbangan dan pada masa sama menggalakkan penggunaan EV pada masa akan datang," katanya.


Ditanya mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi TNB dan penyedia perkhidmatan pengecasan EV di Malaysia, beliau berkata antara kekangannya adalah kelulusan yang perlu diterima daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelbagai bentuk dan jenis stesen pengecasan.


"Setiap PBT mempunyai peraturan tersendiri dan ia harus diselaraskan dalam masa terdekat bagi memastikan masalah ini dapat diatasi.


"Saya harap dengan penyelarasan di seluruh negara, tempoh bagi kelululusan daripada PBT boleh disingkatkan sehingga kepada dua bulan sekurang-kurangnya," katanya.


Selain daripada masalah membabitkan PBT, TNB turut menghadapi masalah seperti ruang atau tempat untuk pemasangan stesen berkenaan.


Oleh itu, Mohd Junaizee berkata TNB terbuka untuk menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan yang berminat untuk menyediakan tempat manakala TNB pula akan menyalurkan tenaga elektrik.


Beliau berkata, TNB berpandangan selain kekurangan infrastruktur, industri EV juga dihimpit masalah kemampuan mampu milik kenderaan EV, kekurangan mekanik, polisi mesra EV dan subsidi minyak yang tinggi.


Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap pada persidangan sama berkata Malaysia menyasarkan untuk memasang 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025 menerusi Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.


Beliau berkata, pada masa ini terdapat lebih 10,000 EV berdaftar di negara ini dan 900 pengecas EV awam.


"Kementerian turut komited untuk meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Pembekalan Elektrik 2021-2039 di samping memperkasakan grid dan membangunkan ekosistem EV," katanya.


Sumber: Berita Harian


7 views

Comments


bottom of page