top of page

Tingkat kesedaran keselamatan pemandu, JKR rintis pemasangan SSR di jalan raya utama


Speed Sign Radar (SSR) JKR
Gambar hiasan: SSR merupakan produk inovasi JKR dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Vectolabs Sdn. Bhd. dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Speed Sign Radar (SSR) JKR

LIPIS: Para pemandu kini perlu berhati-hati dan mematuhi had kelajuan ditetapkan apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah pun memasang peralatan yang dikenali Speed Sign Radar (SSR) di beberapa lokasi jalan raya di negara ini.


SSR merupakan produk inovasi JKR dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Vectolabs Sdn. Bhd. dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, SSR merupakan sistem berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) dan radar bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan pengguna jalan raya menerusi paparan had laju kenderaan masing-masing di dashboard dan boleh juga diakses melalui aplikasi tertentu dan laman web.


“Data yang diperoleh daripada SSR secara dalam talian dan ‘real-time’ seperti bilangan, jenis dan kelajuan kenderaan yang direkodkan melalui lantunan gelombang oleh radar terus dihantar ke pengstoran awam melalui internet.


“Kemudiannya (data) dianalisis untuk mengenal pasti tingkah laku pengguna jalan raya dan pemanduan di (jalan raya) khususnya kelajuan kenderaan dan aspek keselamatan lain,” katanya di Jalan Benta- Lipis berdekatan Stesen Timbang JPJ Benta di sini hari ini.


Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis menjelaskan, menerusi analisis, data berkenaan boleh dijadikan sebagai maklumat bancian pengguna kenderaan di jalan raya sebagai panduan untuk perancangan pembangunan dan penyelenggaraan (jalan raya) seluruh negara.


Beliau menambah, data yang lengkap itu juga cukup signifikan untuk pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan had laju oleh pengguna jalan raya.


“Sehingga ini sebanyak enam unit SSR sebagai projek perintis JKR sudah memasang masing-masing satu unit laluan Sungai Buloh, Klang, Pulau Pinang, manakala tiga unit di Lipis.


“Apapun antara keutamaan JKR memasang SSR selain untuk memperoleh data tertentu, tetapi secara langsung dapat mendidik pengguna jalan raya tentang keselamatan pemanduan,” katanya.


Ujarnya, Kementerian Kerja Raya sentiasa berusaha dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang selamat dengan kos yang optimum termasuk meneroka teknologi terkini bagi memenuhi keperluan trafik semasa.


Sumber: Utusan


2 views

Comments


bottom of page