top of page

Tindakan bersih hutan di Taman Sahabat Indah timbulkan tanda tanya


Tindakan bersih hutan di Taman Sahabat Indah timbulkan tanda tanya Harian Metro www.hmetro.com.my
TINJAUAN bersama Azrul Mahathir ke kawasan berbukit berhampiran Taman Sahabat Indah, Kampung Suluk di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Bayan Lepas: Kerja pembersihan hutan berhampiran Taman Sahabat Indah, Kampung Suluk di sini, menjadi tanda tanya sama ada projek pembinaan asrama pekerja warga asing, akan berlangsung tidak lama lagi.


Tinjauan Harian Metro ke lokasi mendapati, kesan tayar kereta pacuan empat roda selain pemasangan tali pita boleh dilihat dari bahagian luar kawasan hutan berkenaan.


Selain itu, terdapat laluan hutan yang dibersihkan namun tiada sebarang papan tanda diletakkan sebagai pemberitahuan mengenai kerja yang sedang dilakukan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata, kerja pembersihan itu disedari penduduk tempatan pada minggu lalu sebelum melaporkan kepada pihaknya.


Katanya, lokasi berbukit itu adalah antara yang terbabit dengan kerja pembinaan asrama yang dicadangkan kelak dan dijangka menjadi laluan masuk ke asrama itu.


"Kita belum terima maklumat mengenai projek berkenaan yang dikatakan dalam proses permohonan kebenaran merancang.


"Lokasi ini adalah yang dirancang sebagai laluan utama bagi projek asrama warga asing dan sudah tentu ia menimbulkan tanda tanya.


"Ia terletak hanya beberapa meter dari dua perumahan yang menempatkan lebih 2,000 penduduk," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Terdahulu, kerajaan negeri dilapor bakal membina asrama pekerja asing di Sungai Batu dengan keluasan 2.8 hektar, dan di Teluk Kumbar, masing-masing dengan keluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar selain membabitkan rizab pantai.


Ia bakal menempatkan kira-kira 30,000 sehingga 50,000 pekerja sedangkan jumlah penduduk tempatan di situ hanya kira-kira 15,000.


Rancangan pembinaan itu bukan sahaja mendapat bantahan penduduk tetapi badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat di kawasan terbabit walaupun pelbagai siri bantahan memorandum sudah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pengetahuan pemaju.


Mengulas lanjut Azrul berkata, dia sudah berjumpa dengan Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Bantahan dan merancang mahu mengadakan bantahan secara besar-besaran sekiranya projek itu diteruskan.


"Sekiranya berlaku, saya serah kepada penduduk dan pihak terbabit bagi menzahirkan bantahan dan pada masa ini, kita akan terus bantah.


"Jika pemaju masih berkeras mahu melaksanakan juga projek itu, saya harap kerajaan negeri dapat campur tangan supaya ia dapat dinilai semula dan dibatalkan.


"Kita sudah sedia maklum bahawa pembinaannya kelak bakal mendatangkan pelbagai masalah sosial selain menyebabkan masalah trafik, jadi tidak perlulah ia diteruskan," katanya lagi.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page