top of page

Timbalan Pengarah DBKL didakwa terima rasuah lebih RM1.08 juta


SABUDIN Mohd Salleh, meninggalkan mahkamah selepas dituduh menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas enam tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.08 juta, dua tahun lalu.


Tertuduh, Sabudin Mohd Salleh, 57, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus ia dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi.


Berdasarkan pertuduhan pertama, Sabudin didakwa menerima suapan wang tunai RM700,000 daripada Ang Huck Koon melalui pihak ketiga, B Chandrasegar, sebagai dorongan memperakukan tuntutan pembayaran kepada Syarikat Juara Cahaya Sdn Bhd bagi cadangan pembinaan jambatan konkrit baharu merentangi Sungai Klang di Jalan Jelatek, di sini.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar Shopping Centre, di sini antara 4 April hingga 8 Mei 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah wang tunai RM20,000 bagi dirinya daripada Lim Hong Jun iaitu Pengarah Syarikat Haneka Sdn Bhd sebagai dorongan mengesyorkan bagi melantik syarikat BY Five HDD Sdn Bhd, Sutera Unik Sdn Bhd dan Uyin Enterprise untuk cadangan kerja penyelenggaraan infrastruktur awam bagi sistem jalan raya dan perparitan di Kuala Lumpur untuk tahun 2017 hingga 2019.


Mengikut tuduhan ketiga, dia didakwa menerima RM10,000 daripada Lim Hong Jun iaitu pengarah Haneka Sdn Bhd sebagai balasan memperakui sijil tuntutan pembayaran syarikat itu untuk cadangan kerja penyelenggaraan infrastruktur awam bagi sistem jalan raya dan perparitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2017 hingga 2019 oleh syarikat BY Five HDD Sdn Bhd, Sutera Unik Sdn Bhd dan Uyin Enterprise.


Mengikut pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM150,000 daripada Pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd, Chia Chee Seng. yang diketuai ada hubungan dengan tugas rasminya di sebuah rumah dekat Ukay Perdana di sini, di antara 13 hingga 19 Ogos 2018.


Sabudin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM100,000 daripada Wong May Kuan iaitu sub kontraktor Dusari Niaga sebagai upah memberikan kerja bernilai RM619,053.34 dan kerja-kerja pembaikan serta menaik taraf bebendul serta siar kaki sekitar Kuala Lumpur.


Bagi pertuduhan kedua, ketiga, kelima dan keenam, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, menawarkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan.


“Pendakwaan juga memohon supaya pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan,” katanya.


Tertuduh yang diwakili peguam bela, Hamidi Mohd Noh, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan jumlah ditawarkan itu terlalu tinggi.


“Anak guam saya masih perlu menanggung tiga anak di mana kos pengajian ditanggung sepenuh oleh tertuduh.


“Isteri tertuduh pula hanya seorang surirumah yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM120,000 bagi semua pertuduhan dengan dua syarat tambahan iaitu pasport diserah kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan.


Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Februari 2020 untuk penyerahan dokumen, manakala tarikh bicara pula ditetapkan bermula 27 Julai 2020.



18 views
bottom of page