Tiada keperluan mendesak untuk HSR - Tun Mahathir


CYBERJAYA: Kerajaan tidak melihat keperluan mendesak masa ini bagi pembinaan kereta api berkelajuan tinggi (HSR).


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, paling penting kini meningkatkan jaringan sistem rel negara menerusi teknologi selain penggunaan landasan berkembar.


"Kita tidak akan bina lagi HSR buat masa ini, tetapi mempertingkat kualiti dan perkhidmatan sistem kereta api sedia ada. Ini boleh dilakukan dan ada yang sudah dilakukan seperti penggunaan teknologi elektrik dan landasan berkembar.


"Teknologi elektrik tidak mencemarkan alam sekitar dan pada masa sama mempercepatkan perjalanan, manakala landasan berkembar membolehkan tren melepasi satu sama lain tanpa berhenti," katanya.


Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab selepas Majlis Pembukaan Technomart Rel 2019, di sini, pada Selasa.


Ia merupakan anjuran Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) dengan usahasama Kumpulan Kerjasama Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).


Dalam pada itu kata Dr Mahathir, HSR kelak mungkin akan menghubungkan Johor Bahru dan Pulau Pinang sehingga sempadan Thailand.


Bagaimanapun jelasnya, ia masih tidak dibincangkan kerana perjanjian hari ini hanya bagi perjalanan antara Kuala Lumpur ke Singapura.


Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, HSR mungkin akan ditangguhkan setelah mengkaji situasi ekonomi negara.


Kementerian Kewangan mengesahkan kepada Dewan Rakyat, perkiraan kos keseluruhan projek HSR mencecah RM110 bilion.


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #HSR

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.