top of page

Tiada kenaikan cukai taksiran MBSJ tahun ini


Pemandangan pembangunan MBSJ. Foto/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang dinaik taraf daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam memberi jaminan tiada sebarang peningkatan cukai taksiran akan dilaksanakan pada tahun ini, walaupun kos perbelanjaan pengurusan dan pembangunan bandar raya semakin meningkat.


Datuk Bandarnya, Noraini Roslan, berkata walaupun nilai hartanah di Subang Jaya sudah meningkat berkali ganda, namun penentuan jumlah cukai masih bergantung pada penilaian hartanah pada 1995 dan 1997.


Justeru, katanya semakan semula cukai taksiran sedang dilakukan dan jika berlaku kenaikan cukai pada masa akan datang, ia dijangka tidak akan melebihi 20 peratus.


"Kita perlu berpihak di bumi nyata, yang mana kos untuk pengurusan bandar semakin dan sentiasa meningkat, seperti bayaran gaji, harga petrol, elektrik dan bahan mentah lain yang meningkat berkali ganda.


"Bagaimanapun, kita masih berpegang kepada penilaian pada 1995 dan 1997. Kita sedang melakukan penilaian semula dan dijangka diperoleh pada 2021.


"Ia kemudian perlu dibawa untuk persetujuan kerajaan negeri dan jika ia berlaku (peningkatan cukai) kita cuba untuk tidak naikkan cukai itu melebihi 20 peratus.


"Kita harap penduduk faham keperluan ini dan saya kira, ia nanti adalah satu angka yang boleh diterima ramai," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.


Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan MPSJ secara rasmi diisytihar sebagai MBSJ. Pengisytiharan itu, katanya dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Noraini berkata, MBSJ dijangka memperoleh pendapatan RM256 juta pada tahun ini, yang mana 72 peratus adalah daripada hasil cukai, selain hasil bukan cukai seperti pembaharuan lesen perniagaan, caj perkhidmatan, hasil kutipan sewa, hasil jualan dan faedah pelaburan.


Disebabkan penularan COVID-19, pihaknya turut menjangkakan kehilangan pendapatan lebih RM25 juta berikutan kemerosotan sektor ekonomi di bandar raya itu, sekali gus akan turut memberi kesan terhadap perkhidmatan kepada masyarakat.


Bagaimanapun, Noraini berkata, berikutan amalan pengurusan Lean, selain kutipan Kumpulan Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF) dan caj pemajuan, MBSJ ketika ini mempunyai rizab dan kedudukan kewangan yang kukuh bagi meneruskan perancangan pembinaan infrastruktur utama.


"Sejak 2018, kita sudah tidak bergantung kepada pendapatan Majlis semata-mata. Kita banyak bekerjasama rakan sinergi kita, pihak kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan projek dengan masyarakat," katanya.


Mengulas mengenai perancangan MBSJ selepas daerah itu berstatus bandar raya, Noraini berkata, selaras visinya sebagai Bandaraya Mampan dan Bestari, Kota Niaga dan Kediaman Idaman menjelang 2030, beberapa pelan tindakan turut di wujudkan bagi panduan dan mengawal kualiti penyampaian perkhidmatan secara khusus.


Antaranya adalah Pelan Tindakan Hijau, Pelan Tindakan Bandar Selamat, Pelan Tindakan Bandar Pintar, Pelan Tindakan Bandar Sejahtera, Pelan Tindakan Bandar Sihat dan Pelan Tindakan Bandar Mesra Wanita, yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan dari segi pengurusan sehingga penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.


"Perancangan dan tumpuan utama akan lebih memfokuskan kepada urusan utama iaitu penyelesaian masalah aduan bandar raya seperti sampah, lampu, longkang dan jalan serta memperhebat tindakan penguatkuasaan di lapangan," katanya.


Dalam masa terdekat, katanya MBSJ akan meneruskan perancangan pembangunan termasuk pembinaan kompleks sukan baharu dengan kemudahan gelanggang futsal yang mengikut spesifikasi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pembinaan jejambat antaranya di Persiaran Kewajipan dan beberapa lagi pembangunan infrastruktur lain, selain mendapatkan maklum balas penduduk mengenai senarai projek yang perlu diutamakan.



4 views
bottom of page