Jelebu: Tiada cadangan untuk menambah lampu di Jalan Bukit Tangga di sini buat masa ini namun Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mempergiat pemasangan ciri keselamatan lain di laluan itu.
Antaranya termasuk memperbanyakkan pemasangan papan tanda amaran dan memperelok garisan putih dan kuning yang pudar di sepanjang laluan terbabit.
Pengarah JKR Negeri Sembilan, Wan Hasnan Wan Musa berkata, pihaknya maklum mengenai kegusaran masyarakat berhubung keselamatan laluan itu yang menghubungkan bandar Seremban.
Katanya, usaha menaik taraf dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya giat dilaksana mengikut peruntukan dan keperluan semasa.
"Untuk lampu jalan, belum ada rancangan menambah pencahayaan di situ, namun pemasangan papan tanda amaran pantulan cahaya akan diperbanyakkan.
"Cerun yang bermasalah juga sedang dan akan terus diperbaiki dari semasa ke semasa demi keselamatan pengguna jalan.
"Bagaimanapun, ada cerun yang proses pembaikan ia mengambil masa lama untuk disiapkan," katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk Jelebu yang mendakwa Jalan Bukit Tangga, di sini perangkap kemalangan dan mendesak laluan di bawah Jalan Persekutuan 86 itu dinaik taraf dan aspek keselamatan ditambah baik.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kali terakhir Jalan Bukit Tangga dinaik taraf pada 2001 yang menjadikan lorongnya lebih besar.
Namun, beliau mengakui tanah runtuh dan banjir berlaku di laluan itu yang terakhir pada 2021 menyebabkan permukaan jalan rosak dan cerun runtuh yang memerlukan perhatian JKR.
Sumber: Harian Metro
Tiada cadangan tambah lampu!
Comments