top of page

The Jardin Sentul ditawarkan pada harga RM300,000 seunit


The Jardin Sentul ditawarkan pada harga RM300,000 seunit
Gambar hiasan

The Jardin Sentul ditawarkan pada harga RM300,000 seunit

KOPERASI Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (KPSPB) dengan usahasama Menarez Development Sdn Bhd (Menarez Development) akan membangunkan rumah mampu milik, The Jardin Sentul.


Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul terdiri daripada satu blok bangunan 29 tingkat Residensi Wilayah merangkumi 322 unit kediaman itu telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick pada Khamis.


Ewon berkata, usahasama KPSPB selaku pemilik tanah, sementara Menarez Development selaku pemaju itu membabitkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM120 juta.


Menurutnya, kediaman berkeluasan 901 kaki persegi (83.7 meter persegi) berharga RM300,000 itu akan mula dilaksanakan pada Oktober tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025.


"Pembangunan ini juga akan merangkumi taman permainan dan ruang kemudahan rekreasi di aras tujuh untuk mewujudkan persekitaran dinamik untuk penduduk The Jardin Sentul.

"Saya amat berharap kontraktor terpilih melaksanakan kerja pembinaan mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan supaya pembeli dapat menikmati kemudahan yang disediakan," katanya di Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar; Pengerusi Menarez Development, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff danPengerusi KPSPB, Abdul Hakim Abdul Wahab.


Katanya, KUSKOP menghargai komitmen dan dedikasi ditunjukkan pihak koperasi dan pemaju dalam membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk warga kota.


Ujarnya, gerakan koperasi yang telah mencapai usia 100 tahun mencerminkan koperasi telah matang dan bergerak ke hadapan dengan menggunakan kemahiran beroperasi untuk membantu ekonomi anggotanya.


"Tambahan lagi, ketika ini peluang perniagaan terbuka luas dalam pelbagai sektor koperasi tempatan yang menawarkan peluang kepada rakyat untuk menjana pendapatan tambahan dengan menganggotai dan memiliki saham koperasi.


"Sehingga Disember 2022, sektor koperasi mencatat perolehan sebanyak RM45.5 bilion dengan jumlah anggota sebanyak 7.3 juta orang.


"Bagi koperasi dengan fungsi perumahan khususnya, sebanyak 308 koperasi telah didaftarkan dengan perolehan sehingga tahun lepas adalah sebanyak RM128 juta," katanya.


Sementara itu, Abdul Hakim berkata, koperasi tersebut telah didaftarkan pada 8 Disember 1965 dan proaktif menceburi sektor pembangunan hartanah yang dilihat mampu memberi pulangan keuntungan serta mencapai objektif koperasi yang menyasarkan setiap ahli koperasi dapat memiliki seunit rumah.


Katanya, projek pertama telah dilaksana pada 1980 membabitkan 130 unit banglo satu tingkat di Taman Pelangi dan meneruskan usahasama dengan beberapa syarikat bagi beberapa projek lain termasuk perumahan teres, kondominium serta lot kedai pejabat.


"Kami menyahut saranan pihak kerajaan tempatan yang ingin menyediakan kemudahan pemilikan kediaman selari dengan kemampuan masyarakat berpendapatan sederhana.


"Tanah yang kami miliki, telah dirancang untuk membangunkan kediaman mampu milik.


"Kami berhasrat untuk menjadi pemangkin dalam memajukan usaha pembangunan hartanah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.


Sumber: Sinar Harian


The Jardin Sentul ditawarkan pada harga RM300,000 seunit


24 views

Commentaires


bottom of page