top of page

TH masih miliki aset rosot nilai RM1.5b


KUALA LUMPUR: Meskipun aset kurang berdaya maju bernilai RM9.7 bilion sudah dipindahkan kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV), Lembaga Tabung Haji masih memiliki aset yang rosot nilai berjumlah RM1.5 bilion.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat, berkata aset rosot nilai berkenaan tidak dapat dipindahkan kepada SPV disebabkan beberapa kekangan termasuk kebenaran daripada pihak ketiga.


“Bagi 2018, peruntukan rosot nilai ialah RM1.5 bilion. Ini membabitkan pelaburan dalam syarikat peladangan dengan kerugian RM680 juta; hartanah sebanyak RM528 juta; pembinaan RM144 juta, industri marin, gas dan minyak sebanyak RM103 juta.


“Jumlah keseluruhannya RM1.5 bilion. Ini aset yang tidak dapat dipindahkan kepada SPV disebabkan TH bekerjasama dengan pihak lain, ada juga disebabkan masa yang diperuntukkan terlalu singkat untuk dipindahkan dan perlu kebenaran,” katanya ketika ditemui BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Zukri berkata, TH perlu dipulihkan sebelum akhir 2018 untuk membolehkan agensi itu membayar hibah sewajarnya.


“Syarikat (bermasalah) ini kita tidak pindahkan kepada SPV sebab ada sekatan tertentu seperti usaha sama, kalau ada hutang bank kena dapat kelulusan bank dan banyak lagi jadi kita kekalkan dengan TH,” katanya.


Beliau menjelaskan, Kabinet meluluskan pelan pemulihan pada Disember 2018, lebih cepat berbanding rancangan asal TH iaitu bermula tahun ini.


“Ia untuk mengelakkan tiada keupayaan mengagih hibah yang mana berpotensi mencetuskan situasi panik dalam kalangan pendeposit. Susulan itu kerajaan perlu memulihkan TH dengan cepat iaitu ambil dengan pelan peralihan aset untuk dipulihkan,” katanya.


Mengenai aset lain yang mungkin dipindahkan dalam masa terdekat, Zukri berkata, TH tidak bercadang melaksanakan langkah itu memandangkan aset yang bermasalah itu sudah dirosot nilai.


“Kita sudah merosot nilai aset dengan peruntukan RM1.5 bilion. Jadi tiada lagi masalah dan TH sudah boleh memikirkan perancangan ke hadapan,” katanya.



11 views
bottom of page