Terminal Bas Pulau Sebang siap tahun depan



Alor Gajah: Terminal Bas Pulau Sebang di Bandar Pulau Sebang, Seksyen 1, di sini, yang menelan kos pembinaan termasuk infrastruktur sokongan berjumlah RM4 juta dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafar Atan berkata, pembinaan terminal baharu itu membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar dan kerja-kerja pembinaan sudah siap 80 peratus.


Beliau berkata, projek berkenaan yang mendapat kelulusan penswastaan pada 2014 sepatutnya siap dalam tempoh 36 bulan, tetapi tertangguh ekoran beberapa isu termasuk buruh.


"Terminal Bas Pulau Sebang ini dibina bagi menggantikan terminal lama di kawasan berhampiran dan pembinaannya dilaksanakan menerusi projek pertukaran tanah antara syarikat swasta, Yenzoo (M) Sdn Bhd dengan kerajaan negeri Melaka.


"Syarikat swasta berkenaan akan membina Terminal Bas Pulau Sebang termasuk semua infrastruktur sokongan antaranya gerai jualan, kedai makan, kaunter tiket, parkir bas dan teksi serta surau manakala tapak terminal bas lama akan diserahkan kepada Yenzoo," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke terminal itu, di sini, hari ini.


Abdul Ghafar berkata, terminal baharu itu dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan Pekan Pulau Sebang dan Tampin di Negeri Sembilan yang menjadi lokasi terminal bas lama khususnya pada musim perayaan atau cuti panjang.


Katanya, terminal berkenaan juga akan melengkapkan sistem rangkaian pengangkutan di Pulau Sebang ekoran lokasinya berdekatan Stesen Kereta Api Pulau Sebang.


Sumber: Harian Metro

7 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.