top of page

Terengganu permudah kerja mendalamkan muara


Muara Sungai Merang antara tiga muara sungai di Terengganu yang kritikal dan memerlukan tindakan segera untuk kerja-kerja mengorek dan mendalamkan muara. Foto Nurul Fatihah Sulaini

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyerahkan kuasa kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memutuskan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan muara sungai cetek.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhar, berkata kelulusan itu diputuskan dalam mesyuarat khas Ahad lalu bagi menyelesaikan isu nelayan terjejas dengan masalah berkenaan.


Beliau berkata, dua agensi kerajaan itu diberi kuasa untuk memanggil kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja terbabit.


“Sebelum ini, JPS dan JKR perlu menunggu keputusan daripada kerajaan negeri, tetapi selepas menerima pelbagai rungutan daripada nelayan, kita putuskan agensi berkenaan tidak lagi perlu menunggu keputusan, sebaliknya boleh terus melaksanakan kerja bagi menyelesaikan masalah nelayan.

“Kerajaan negeri menganggarkan kos untuk melaksanakan kerja mendalamkan muara sungai yang cetek membabitkan peruntukan antara RM200,000 hingga RM500,000,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.


Ahmad Samsuri berkata, tiga muara sungai di negeri ini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan tindakan segera.


Muara yang dikenal pasti kritikal adalah muara Sungai Merang, Sungai Dungun dan Sungai Marang.


“Kerja mengorek pasir dan mendalamkan muara sungai itu antara tindakan jangka pendek dilakukan kerajaan,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, JPS sudah diminta untuk terus mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat bagi membolehkan pembinaan benteng pemecah ombak dilakukan.


Katanya, pembinaan benteng pemecah ombak terbabit perlu dilakukan dengan segera bagi mengatasi masalah hakisan di beberapa pantai negeri ini.


“Kos untuk pembinaan benteng pemecah ombak membabitkan peruntukan antara RM50 juta hingga RM200 juta,” katanya.



12 views
bottom of page