top of page

Tender sekolah Sarawak ditangguhkan



PELAKSANAAN tender di 16 sekolah di Sarawak ditangguhkan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengkaji semula skop dan kos pelaksanaan projek di sekolah berkenaan.


Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan sekolah berkenaan akan diberi tender pada Mac ini.


Menurutnya, penangguhan itu juga disebabkan cadangan untuk menutup dan menggabungkan beberapa sekolah rendah serta membuka satu sekolah baharu namun tidak dipersetujui oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya.


“Cadangan penggabungan ini dikhuatiri akan membabitkan penutupan sekolah yang berada berhampiran dengan penempatan komuniti setempat kerana sekolah baharu berkenaan berada di lokasi lebih jauh.



“Keadaan ini mungkin akan menyebabkan keciciran pelajar disebabkan faktor jarak yang lebih jauh serta kos pengangkutan yang tinggi untuk pelajar tiba di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.


Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa bahawa Kerajaan Persekutuan memungkiri perjanjian untuk membaik pulih sekolah usang di negeri berkenaan.


Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendakwa Kerajaan Persekutuan memungkiri perjanjian untuk membaik pulih sekolah usang di negeri berkenaan.


Beliau dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan JKR Sarawak memikul tanggungjawab bagi pengurusan dan pelaksanaan projek itu.


Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen berkata, Abang Johari sepatutnya bertanya kepada pihak JKR negeri mengenai kemajuan atau kelewatan dalam pelaksanaan projek berkenaan bukannya hanya melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Kerajaan Persekutuan.


“Sebagai Ketua Menteri, Abang Johari sudah pasti memiliki akses kepada semua maklumat ini dan sebenarnya mempunyai kuasa ke atas JKR Sarawak yang berada di bawah kerajaan negeri.


“Melihat kepada kemajuan kesemua 37 projek baik pulih sekolah ini, saya tidak fikir bahawa JKR negeri sengaja melengah-lengahkan projek itu untuk mensabotaj projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Beliau berkata hanya semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bilangan sekolah usang berkurangan kerana mereka memandang serius isu pendidikan dan kebajikan pelajar di sekolah luar bandar.


Sumber: Harian Metro


16 views
bottom of page