PORT DICKSON: Masalah terputus bekalan air yang kerap dialami kira-kira 350 keluarga di Kampung Baru Si Rusa di sini, diatasi dengan pembinaan sebuah telaga tiub, baru-baru ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Nasir Raman, berkata projek telaga tiub itu adalah inisiatifnya bersama Majlis Permuafakatan dan Komuniti Kampung (MPKK) kampung terbabit.
Katanya, ia sebagai alternatif mengatasi masalah bekalan buat penduduk di kampung berkenaan.
"Mereka sering terputus bekalan air jika loji pembersihan di Sungai Linggi ditutup akibat pencemaran, kerosakan atau banjir.
"Sebagai contoh, apabila berlaku banjir di Linggi pada 18 Disember lalu, loji pembersihan air terpaksa ditutup bagi mengelak pencemaran.
"Kebiasaannya, penduduk terpaksa menunggu tiga hingga empat hari bekalan pulih sepenuhnya," katanya di sini, hari ini.
Nasir berkata, ada kalanya penduduk terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Port Dickson dan anggota tentera apabila berdepan isu tiada bekalan air dalam tempoh panjang.
Berikutan kerap menerima aduan masalah berkenaan, pihaknya bersama MPKK kampung itu mengambil inisiatif projek membina telaga tiub berkenaan.
Katanya, kos RM20,000 bagi membina telaga tiub sedalam 40 meter itu ditanggung sepenuhnya Pejabat Penyelaras DUN Bagan Pinang.
"Sebanyak 350 keluarga dalam kalangan penduduk kampung mendapat manfaat dari telaga tiub ini, sekali gus mengatasi masalah dihadapi mereka," katanya.
Nasir berkata, pihaknya akan meneliti beberapa kampung lain yang memerlukan kemudahan sama, namun bergantung kepada dana sedia ada.
Sumber: Berita Harian
Comments