top of page

TCS sasar kukuh kedudukan dalam industri pembinaan


Pengerusi TCS Group Holdings Bhd, Tan Sri Izzuddin Dali (tiga dari kiri) bersama Pengarah Urusan TCS , Datuk Ir Tee Chai Seng (tiga dari kanan) memukul gong pada kemunculan sulung syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia - NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: TCS Group Holdings Bhd yang memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia akan mempercepatkan pelaksanaan pelan masa depannya selepas memperoleh RM20.7 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).


Pengarah Urusannya, Datuk Ir Tee Chai Seng, berkata perolehan dana itu akan membolehkan syarikat mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri pembinaan dan mendapat akses ke pasaran modal bagi merangsang pengembangannya.


Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM13 juta atau 62.8 peratus akan digunakan bagi pemerolehan barangan dan mesin baru, RM4.2 juta atau 20.29 peratus pula akan digunakan untuk perbelanjaan kerja bagi projek sedia ada dan projek akan datang, manakala RM3.5 juta atau 16.91 peratus akan digunakan untuk tujuan perbelanjaan penyenaraian kumpulan di Pasaran ACE.

"Kumpulan merancang untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam segmen bangunan tinggi, bangunan binaan khas dan bangunan institusi, disokong oleh rekod prestasi baik dalam projek pembinaan bangunan.


"Selain itu, kumpulan juga akan meningkatkan hasil kami dengan meneroka ke dalam perkhidmatan pembinaan prasarana yang termasuk jalan raya utama, lebuh raya dan jambatan," katanya selepas majlis penyenaraian TCS di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Chai Seng berkata, walaupun semua industri ketika ini berhadapan dengan penurunan disebabkan penularan COVID-19, beliau yakin TCS mampu mencapai sasaran positif pada tahun ini.


Beliau berkata, penyenaraian TCS serta pelan pemulihan yang dilaksanakan kerajaan menjadi antara faktor yang menyokong prestasi kumpulan.


Katanya, kumpulan juga akan terus menghantar lebih banyak tender projek infrastruktur serta pembangunan dalam sektor awam dan swasta.


"TCS baru membabitkan diri dalam segmen pembinaan infrastruktur dan yakin ia akan membantu meningkatkan sumbangan kepada pendapatan dalam beberapa tahun akan datang.


"Ketika ini, 80 peratus pendapatan disumbang dari segmen pembinaan kediaman manakala 20 peratus dari pembinaan komersial.


"Kumpulan perlu bekerja lebih bagi memastikan mencapai prestasi kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.


Pada pembukaan hari ini, saham TCS merekodkan keuntungan 152 peratus, meningkat 35 sen kepada 58 sen.



5 views
bottom of page