Tak wajar hulur 'tongkat'



KERAJAAN membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi pada 4 Mei lalu.


Sehubungan itu, kerajaan mewajibkan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing bagi mengelak kemunculan kluster baharu.


Arahan ini mendapat reaksi pelbagai pihak terutama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) yang memohon kerajaan menanggung kos penuh ujian berkenaan.


Ikuti wawancara bersama Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail dan wartawan, Nor 'Asyikin Mat Hayin bagi mengupas isu ini.


REHDA dan MBAM mahu kerajaan tanggung kos ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing. Wajar atau sebaliknya?

Pada pandangan saya, tidak wajar REHDA dan MBAM meminta kerajaan membantu atau memberi 'tongkat' kepada mereka.


Kos ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing adalah tanggungjawab majikan.


Majikan juga perlu mengambil kira kos tambahan yang perlu mereka keluarkan semasa berhadapan dengan risiko tidak dijangka seperti penularan Covid-19.


Berapa anggaran jumlah perlu dikeluarkan untuk ujian saringan ini jika kerajaan setuju menanggungnya?

Saya tidak mempunyai data yang tepat, tetapi dianggarkan hampir dua juta pekerja merangkumi tempatan dan warga asing bekerja di sektor pembinaan.


Oleh itu kos yang perlu kerajaan tanggung untuk ujian saringan Covid-19 dianggarkan mungkin mencecah RM1 bilion.


Tentunya jumlah ini kos yang tinggi untuk diserap kerajaan.


Sebab itu saya berpendapat, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan memberi pelepasan cukai kepada syarikat yang terpaksa membuat ujian saringan ini ke atas pekerja.


Kira-kira 70 peratus pekerja asing mendominasi pekerjaan di tapak pembinaan.


Namun, saya berkeyakinan majikan boleh berunding dengan pekerja bagaimana hendak mengurangkan tanggungan kos ini seperti membuat potongan gaji bulanan.


Bagaimanapun, semua ini terpulang kepada strategi perniagaan masing-masing.


Apa yang pasti, adalah tidak wajar minta kerajaan tanggung kos ujian saringan itu.


Ini kerana ada sektor lain iaitu perbankan sanggup berkorban dengan bersetuju menyerapkan kos faedah tanpa mengenakan sebarang faedah selama enam bulan sepanjang tempoh moratorium.


Tindakan sektor perbankan ini mempamerkan semangat patriotik mereka dalam membantu memulihkan ekonomi negara.


Saya berpendapat sektor pembinaan juga perlu mengambil langkah yang sama.


Apa implikasi terhadap sektor hartanah dan pembinaan jika mereka mengeluarkan belanja besar untuk ujian saringan ini?

Ia tidak memberikan impak yang signifikan kerana kos ujian saringan itu hanya sekitar RM350 hingga RM650 seorang.


Jika kita melihat daripada kos keseluruhan projek pembinaan dan keuntungan syarikat pemaju, jumlah kos yang perlu mereka belanjakan bagi ujian saringan itu berkemungkinan tidak mencapai satu peratus.


Saya berpendapat ia bukanlah satu kos yang membebankan bagi syarikat pemaju.


Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan insentif cukai kepada syarikat yang mengeluarkan perbelanjaan bagi menampung kos ujian saringan ini ke atas pekerja.


Contoh, majikan diberikan pengurangan dalam pembayaran cukai pendapatan.


Kos ujian saringan ini tidak akan menyebabkan harga rumah meningkat.


Ini kerana trend (peningkatan harga rumah) dipengaruhi oleh faktor permintaan dan penawaran.


Penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini memang memberikan kesan yang agak besar kepada permintaan perumahan.


Jadi senario ini perlu dilihat sebagai satu proses pembetulan biasa dalam pasaran hartanah.


Pemaju pula mungkin boleh mempertimbangkan cadangan menurunkan harga rumah bagi menarik dan memudahkan rakyat membeli rumah.


Ini secara tidak langsung membantu menambahkan kecairan atau aliran tunai dalam sektor pembinaan.


Seperti sedia maklum, ada pekerja di tapak pembinaan adalah pendatang asing tanpa izin dan majikan tahu mengenai perkara itu. Kenapa majikan tidak mahu tanggung kos ujian ini?

Ini berkemungkinan kerana bilangan pekerja asing yang digajikan bekerja di tapak pembinaan ramai dan kos untuk melakukan ujian ini pula membabitkan jumlah besar.


Ini menyebabkan pemaju dan kontraktor ingin mendapatkan bantuan kerajaan bagi meringankan beban kewangan mereka yang terjejas disebabkan penularan Covid-19.


Iktibar yang boleh diambil di sebalik masalah ini (penularan wabak Covid-19) ialah melihat semula kebergantungan majikan terhadap pekerja asing dalam sektor pembinaan.


Berdasarkan senario ini, strategi akan datang yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil rakyat tempatan bekerja dalam sektor berkenaan.


Ini kali pertama majikan di tapak pembinaan perlu keluarkan sejumlah kos untuk saringan kesihatan besar-besaran. Ia pasti berbaloi untuk keselamatan pekerja sendiri sama ada tempatan, asing berpermit atau asing tanpa permit.


Ini berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja.


Dalam ruang lingkup yang lebih luas ialah untuk kepentingan rakyat Malaysia supaya risiko penularan Covid-19 dapat dikurangkan.


Maka tidak salah pemaju dan kontraktor mengambil peranan ini sebagai tanggungjawab sosial kepada negara.


Semua pihak dan sektor ekonomi mendapat bantuan penuh kerajaan sejak dulu lagi.


Semua sektor ekonomi terjejas teruk dengan penularan Covid-19 kerana aktiviti ekonomi seolah-olah 'dipaksa' berhenti terutama bukan sektor perkhidmatan keperluan.


Apabila kegiatan ekonomi terhenti, ia memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Jadi langkah kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi adalah satu usaha untuk membantu semua pihak sama ada pengguna dan peniaga dalam mendepani tempoh penularan wabak ini.


Bagi peniaga yang terjejas, inilah titik tolak kepada mereka untuk melakukan transformasi perniagaan dengan memanfaatkan teknologi digital dan disesuaikan dengan suasana normal baharu.


Memang kerajaan sudah membantu (semua pihak dan sektor ekonomi), tetapi bantuan itu tidak mencukupi.


Mungkin kerajaan boleh membantu sektor perniagaan untuk tempoh tertentu iaitu satu atau dua bulan.


Selain daripada itu, terpulang kepada ahli perniagaan bagaimana mahu merancang bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.


Apa jalan tengah boleh diambil pemain industri dan kerajaan bagi menyelesaikan isu ini?

Pemaju dan kontraktor perlu bersama-sama berganding bahu membantu negara dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja.


Pada masa sama, pihak industri perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang untuk tidak terlalu bergantung dengan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan.


Ini secara tidak langsung boleh membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.


Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan sektor ini disokong dan dibantu kerana ia antara penyumbang kepada KDNK yang agak besar.


Wajar atau tidak menggunakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) warga asing untuk menampung bayaran ujian Covid-19?

Wajar jika pekerja itu membuat caruman Perkeso.


Namun, tidak wajar menggunakan wang caruman berkenaan bagi menampung bayaran kos ujian saringan ke atas pekerja yang tidak membuat caruman.

Ingin saya tekankan di sini bahawa kos kesihatan adalah tanggungjawab majikan.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Covid19 #kontraktor

17 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.