top of page

Tak gayat naik ke tingkat 118?


Tak gayat naik ke tingkat 118? Kosmo www.kosmo.com.my
Bangunan Merdeka 118 merupakan mercu tanda baharu Kuala Lumpur yang dibina oleh PNB.

Seingat penulis pada tahun 1996, Menara Berkembar Petronas dan pusat beli-belah KLCC telah membawa satu keceriaan buat warga kota.


Selain taman hijau yang luas, ia turut menempatkan kolam mandi yang dihiasi air pancuran untuk memberi ruang kepada keluarga membawa ahli keluarga mandi manda secara percuma di situ.


Seronok anak-anak kecil bermain di kolam tersebut kerana air yang cetek membuatkan ibu bapa tidak bimbang dengan keselamatan si cilik bermain sepuasnya tetapi mata para pengawal keselamatan di situ sungguh cekap, pastinya bunyi wisel kedengaran jika ada yang terlebih berani untuk mandi di kawasan yang dilarang.


Itu kegembiraan 26 tahun lalu, ternyata masa berlalu begitu pantas dan kini warga kota bakal tertumpu kepada satu lagi mercu tanda negara yang bakal menaikkan nama negara di persada antarabangsa iaitu Merdeka 118 yang terletak bersebelahan dengan Stadium Merdeka dan juga Stadium Negara.


Melalui projek milik PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan itu berjaya menyatukan seni bina sejarah dengan projek moden serta berteknologi tinggi.


Pastinya projek tersebut bakal menjadi kebanggaan semua kerana pembangunannya cukup lengkap dengan pelbagai elemen seperti kediaman, hiburan, riadah, keagamaan, kekeluargaan, percutian dan pelaburan.


Keterujaan utamanya nanti adalah ketika berada di dek pemerhatian di tingkat 118 yang akan membawa momen terindah bagi setiap pengunjung kerana mereka berada di atas ketinggian menara tertinggi di Asia Tenggara.


Abaikan rasa gayat buat sementara waktu kerana keterujaan merakam gambar terbaik di situ dapat mengatasi segalanya serta anda juga akan berasa seolah-olah bebas daripada segala masalah yang dirisaukan sebelum ini.


Lebih menarik apabila dapat bermalam di Park Hyatt Kuala Lumpur yang berada di tingkat 100 menara tesebut serta menjamu selera di restoran yang berlatarbelakangkan panorama terbaik.


Selain pusat beli-belah, pengunjung juga dapat berkunjung semula ke Stadium Merdeka yang penuh dengan warna-warni imbauan sejarah penting negara.


Itu antara kegembiraan baharu yang bakal dimanfaatkan para pengunjung dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.


Jika sebelum ini projek tersebut hanya dipandang sebelah mata oleh mereka yang tidak mempercayai kemampuan Kumpulan PNB melaksanakannya, kini mereka bakal mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi, peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan yang ditawarkan.


Tidak memfokuskan kepada golongan elit atau ‘kayangan’ semata-mata tetapi manfaat projek Merdeka 118 ini bakal dinikmati oleh semua masyarakat tidak kira golongan B40 atau mereka yang tinggal di projek perumahan rakyat sekitar kawasan berkenaan.


Keprihatinan Kumpulan membantu komuniti di sekitar kawasan itu patut diberi pujian kerana ia tidak menyepikan kumpulan masyarakat yang kerdil di sebalik menara setinggi langit itu. Tahniah PNB!


Sumber: Kosmo!

Kommentare


bottom of page