TUGAS berat menanti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memacu kembali pertumbuhan ekonomi ke tahap terbaik selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.
Setiausaha Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Putrajaya (DPPM Putrajaya), Kamarulzaman Mohamad berkata, ketika ini Perdana Menteri amat memerlukan sokongan penjawat awam khasnya mereka yang berada di peringkat pengurusan.
"Mereka perlu merasai denyut nadi pemain industri dan bukan melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang saya kira perlu dirungkai kembali bersesuaian suasana dan desakan industri demi membantu perkembangan ekonomi yang cepat.
"Sebagai contoh jika SOP sekarang memerlukan 14 hari kelulusan, maka tempoh ini perlu dipendekkan kepada seminggu atau secepat mungkin.
"Jika ini diubah, DPPM Putrajaya yakin dan percaya ia mempercepatkan proses pemulihan dan rangsangan ekonomi," katanya.
Kamarulzaman berkata, DPPM Putrajaya tidak mengharapkan keajaiban, namun sudah tentu pertukaran perdana menteri merujuk kepada sesuatu yang lebih baik.
"Kepada kakitangan kerajaan, DPPM Putrajaya merayu segera menyelesaikan kemelut pemain industri dan membantu mempercepatkan kelulusan permohonan agar mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
"Bayangkan jika enam bulan permohonan tiada jawapan maka bagaimana mereka mahu merancang operasi syarikat. Kakitangan kerajaan khasnya di peringkat pengurusan perlu mesra industri dan sehabis baik membantu bagi mengatasi kelewatan kelulusan permohonan," katanya.
Beliau menjelaskan, DPPM Putrajaya mencadangkan kerajaan melihat permasalahan kontraktor dari Gred G1 sehingga G7 yang mengeluh ketiadaan projek dan harga barang seperti simen dan besi yang semakin tinggi.
"Ini pasti menjejaskan kontrak mereka. Di samping itu, bagi mempercepatkan proses pemilihan kontraktor, kerja cabutan undi perlu dipraktikkan segera agar sentiasa telus dan dapat mengelakkan rasuah," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comentários