Syarikat pembinaan mengaku salah sebabkan kematian pekerja


IPOH - Sebuah syarikat pembinaan yang didakwa menyebabkan seorang pekerja warga asing maut di sebuah tapak pembinaan pangsapuri di Klebang Restu, Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini.


Pertuduhan ke atas syarikat itu dibuat di bawah Seksyen 15 (1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1995 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, hari ini.


Enrich Union Sdn Bhd yang diwakili pengarah urusannya, Chang Ah Kow @ Chang Kok Seong, 70, mengaku salah melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian warga Bangladesh, Mia Md Ripon, 34, yang terjatuh dari ketinggian 5.1 meter ketika berdiri di atas perancah (scaftfokding) bagi membuka acuan tangki kumbahan najis.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norashima Khalid memerintahkan syarikat berkenaan didenda RM30,000 selain penjara lapan bulan jika gagal membuat bayaran.


Ah Kow kemudiannya membuat rayuan pengurangan denda berkenaan selain turut memohon maaf dan mengakui insiden berkenaan berpunca akibat kecuaian pihak syarikat.


Pegawai pendakwa JKKP Perak, Hanisah Ahmad bagaimanapun memohon agar syarikat itu dijatuhi hukuman setimpal kerana memasang perancah tidak mengikut spesifikasi hingga menyebabkan mangsa jatuh dan maut di tempat kejadian.


Hanisah berkata, hukuman yang setimpal bakal memberikan pengajaran selain membantu mengelakkan insiden sedemikian berulang dan memburukkan imej negara pada masa hadapan.


Norashima kemudiannya memutuskan untuk mengekalkan hukuman dan Ah Kow membuat pembayaran hukuman denda berkenaan.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #JKKP

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.