top of page

Syarikat Korea Selatan cadang labur industri aeroangkasa di Negeri Sembilan


Gambar hiasan: Pelan induk pembangunan komprehensif untuk NSAV telah disediakan sebagai hab aeroangkasa bersepadu untuk menjadi peneraju dalam industri aeroangkasa

SEREMBAN: Syarikat dari Korea Selatan berhasrat melabur di Negeri Sembilan untuk pemasangan pesawat ringan dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) menerusi projek Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan (NSAV).


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, semasa perbincangan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, terdapat syarikat dari Korea Selatan berhasrat untuk melabur di Negeri Sembilan dalam industri aeroangkasa.

"Sebelum ini kita menerima persetujuan daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) untuk memasang helikopter di kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 dan sekarang ini dalam perbincangan dengan syarikat dari Korea Selatan untuk memasang light aircraft (pesawat ringan) dan dron.


"Kita akan melihat perkembangan tentang hasrat mereka itu untuk melabur di negeri ini dan pembangunan di NSAV berjalan sangat baik," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Menyambut Kedatangan Delegasi Jabatan Perdagangan Guangxi, China di sini hari ini.


Beliau berkata seramai 100 jurutera tempatan sedang menjalani latihan di Ankara, Turkiye sejak enam bulan lepas sebagai persiapan untuk menyediakan tenaga kerja yang mahir serta berpengetahuan dalam menjalankan operasi berkaitan aeroangkasa.


Sementara itu Mohamad Rafie dalam ucapannya berkata pelan induk pembangunan komprehensif untuk NSAV telah disediakan sebagai hab aeroangkasa bersepadu untuk menjadi peneraju dalam industri aeroangkasa.


Beliau menambah kajian kebolehlaksanaan menunjukkan NSAV akan dapat menarik pelaburan sebanyak RM104 bilion dan mewujudkan 32,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2039.


"Terdapat kawasan tanah luas yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab aeroangkasa. Jumlah keluasan tanah adalah lebih kurang 6,474.9 hektar (16,000 ekar) yang 10 kali lebih besar dari Toulouse Aerospace Valley. NSAV juga disambungkan melalui lapangan terbang utama dan pelabuhan utama negara," katanya.


Sumber: Berita Harian


24 views

Comentarios


bottom of page