top of page

Syarikat JV Gamuda raih kontrak bina lebuh raya di Australia


Syarikat JV Gamuda raih kontrak bina lebuh raya di Australia Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Syarikat JV Gamuda raih kontrak bina lebuh raya di Australia

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd dan syarikat berpangkalan di Australia, John Holland Pty Ltd menerusi syarikat usahsamanya, John Holland Gamuda Joint Venture (JHGJV) memperoleh kontrak sambungan Lebuhraya M1 Motorway ke Raymond Terrace iaitu kontrak Black Hill ke Tomago bernilai A$1.029 bilion (RM3.03 bilion).


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, kontrak diperoleh dari Pengangkutan New South Wales (NSW) iaitu entiti pemerolehan kerajaan NSW Australia membabitkan reka dan bina itu dijangka menjana pendapatan sekitar A$411 juta (RM1.21 bilion) kepada kumpulan terbabit.


"Perancangan dan reka bentuk terperinci bermula serta-merta dengan penyiasatan tapak dan kerja utiliti akan dimulakan pada pertengahan tahun hadapan," katanya.


Perkongsian pendapatan dalam JHGJV membabitkan 60 peratus oleh John Holland, manakala baki 40 peratus lagi oleh Gamuda, namun dalam aspek membuat keputusan, kedua-dua entiti memiliki pengaruh sama rata.


Gamuda berkata, skop kerja kontrak terbabit termasuk lebuh raya berkembar greenfield sejauh 10 kilometer antara Lebuhraya M1 di Beresfield dan Tomago serta persimpangan utama di Black Hill, Tarro dan Tomago.


"JHGJV juga perlu membina sembilan jambatan termasuk jejambat sepanjang kira-kira 2.6 kilometer merentasi Sungai Hunter dan dataran banjir.


"Projek ini akan mewujudkan inisiatif faedah sosial dalam komuniti tempatan dan Wilayah Hunter NSW yang lebih luas semasa proses pembinaan," katanya.


Dari aspek impak kewangan, Gamuda berkata, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan hasil kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023.


"Tiada Pengarah dan/atau pemegang saham utama syarikat dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam projek ini.


"Gamuda akan membuat pengumuman yang perlu kepada Bursa Malaysia apabila terdapat perkembangan berkaitan projek berkenaan," katanya.


Sumber: Berita Harian


8 views

Comentarios


bottom of page