top of page

SunCon SunCon berupaya menang lebih banyak kontrak


Sunway Construction Group Bhd
Sunway Construction Group Bhd (SunCon)

Sunway Construction Group Bhd

KUALA LUMPUR: Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dijangka meraih lebih banyak kontrak pada tahun kewangan 2023 selepas memenangi projek membina pusat data bernilai RM1.7 bilion di Sedenak Tech Park (STeP), Johor pada 31 Disember 2022.


Penganalisis MIDF Research, Royce Tan Seng Hooi, berkata kontrak terbaharu itu menjadikan nilai baki pesanan SunCon kepada RM5.7 bilion, memberikannya keterlihatan pendapatan yang mantap sehingga tahun kewangan 2024.


"Kami positif terhadap kemampuan kumpulan untuk mendapatkan lebih banyak kerja pada tahun kewangan 2023, yang akan menjadikan nilai pesanannya ke tahap paling tinggi pernah dicatatkan," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Beliau berkata, SunCon ketika ini sedang merundingkan terma dan syarat bagi kerja kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) loji tenaga arang batu di Hau Giang Provice, Vietnam, projek bernilai AS$2.2 bilion (RM9.69 bilion) yang akan dilaksanakan menerusi usaha sama 60:40 dengan Power Engineering Consulting Joint Stock Company 2, sebuah syarikat tenaga yang disenaraikan di Ho Chi Minh Stock Exchange.


Di Malaysia, beliau berkata prospek SunCon dijangka datang daripada kerja-kerja perolehan dalaman daripada Sunway Group dan berpotensi salah satu daripada pakej utama MRT3.


"Kumpulan sudah menghantar bidaan bagi pakej CMC301 dan CMC302, yang dianggarkan masing-masing berniai RM3.1 bilion dan RM14.8 bilion," katanya.


Seng Hooi berkata, SunCon kekal salah satu saham pilihan utama MIDF Research bagi sektor pembinaan disebabkan oleh beberapa faktor, seperti kemampuannya untuk menguruskan margin dengan baik selain kedudukan imbangan tunai yang kukuh, menerusi tunai bersih sebanyak RM175.5 juta.


"Kami juga melihat bahawa kumpulan mula mengembangkan operasi di luar negara yang akan mempelbagaikannya daripada terlalu terdedah kepada sektor pembinaan Malaysia.


"Baki pesanan RM5.7 bilion kumpulan terdiri daripada projek di India (10.6 peratus) dan Singapura (9.4 peratus).


"Kami juga yakin dengan rundingan yang sedang dijalankan kumpulan bagi loji tenaga di Vietnam. Diingatkan juga bahawa SunCon mempunyai Hab Pembinaan Bersepadu & Prefabrikasi di Singapura, yang disediakan khusus untuk projek Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) negara itu.


"Dengan semua faktor dipertimbangkan, kami mengulangi semula saranan 'beli' terhadap (saham) SunCon," katanya.


MIDF Research meletakkan sasaran harga saham SunCon pada RM1.87.


Sumber: Berita Harian


22 views

Comentários


bottom of page