top of page

SunCon intai kembangkan projek pembinaan di India, ASEAN


Pengarah Urusan Sunway Construction Group Bhd (SunCon), Chung Soo Kiong. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Sunway Construction Group Bhd (SunCon) sedang meninjau projek di India dan di rantau ASEAN sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan serantaunya.


Pengarah Urusannya, Chung Soo Kiong, berkata SunCon yakin bahawa usaha serantaunya akan berjaya memandangkan kepakaran meluas yang dimiliki syarikat, pengalaman mendalam dan pendedahan terdahulu dalam menyelesaikan projek-projek antarabangsa.


"Pengalaman kami dalam pelbagai projek rel, jalan raya, bangunan dan projek tujuan khusus yang bernilai tinggi meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk meneroka peluang dalam peranan rakan pelaksana projek (PDP), menyediakan penyelesaian turnkey, atau menyediakan penyelesaian khusus," katanya dalam satu temubual.


Di India, SunCon telah menyiapkan tujuh lebuh raya, meletakkan syarikat dalam kedudukan baik dalam penerokaan semasa untuk kerja pembinaan bagi keretapi dan infrastruktur jalan raya, kata Soo Kiong.

SunCon kini sedang berusaha mengemukakan tiga tender di India untuk kerja-kerja jalan raya, yang mana semua tender berkenaan akan ditutup tahun ini.


"ASEAN adalah pasaran yang menarik dengan peluang bernilai tiga trilion dolar. Kami sedang giat mengeksplorasinya dan kami sedang meneroka perniagaan cerucuk di Singapura. Kami juga telah memulakan kerja-kerja penyelidikan di Filipina dan Indonesia," katanya.


Di Singapura, SunCon melabur S$80 juta (RM242.40 juta) untuk membina Hab Pembinaan Bersepadu Berteknologi Tinggi (ICPH) bagi menghasilkan produk pembinaan.


Soo Kiong berkata, kemudahan itu akan beroperasi pada tahun 2021 dengan kapasiti 100,000 meter padu (m3).


Di Myanmar, SunCon bekerjasama dengan Capital Construction Ltd, bahagian pembinaan Capital Diamond Star Group (CDSG).


CDSG adalah satu daripada konglomerat yang paling dihormati dan terkemuka di Myanmar dengan perniagaan utama dalam sektor makanan, peruncitan, pembangunan hartanah, pembinaan, penjagaan kesihatan, perbankan, insurans dan kewangan mikro.

Soo Kiong berkata, perkongsian itu membolehkan SunCon bekerjasama untuk membida projek berpotensi untuk dibangunkan oleh CDSG, seperti pembangunan bercampur, pejabat, hotel dan hospital di Yangon dan Mandalay, serta projek awam dan infrastruktur luar.


Katanya, dalam negara, SunCon menyaksikan sentimen yang lebih baik dalam sektor pembinaan dengan beberapa aliran berita positif baru-baru ini.


Beliau berkata, syarikat itu optimis bahawa sektor itu akan bertambah baik dan berharap untuk terus meraih projek.


Dalam tempoh 12 bulan akan datang kerajaan dijangka mengumumkan projek infrastruktur berbilion ringgit yang termasuk pelaksanaan semula projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion, Lebuhraya Pan Borneo, dan kemungkinan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura.


Soo Kiong berkata, SunCon akan terus menyokong pelan pengembangan Sunway Bhd dan mencari peluang.


SunCon baru-baru ini memperoleh tiga kontrak bernilai RM496.8 juta.


Jumlah projek baharu yang diperoleh tahun ini bernilai RM1.54 bilion, yang telah melebihi sasaran SunCon sebanyak RM1.5 bilion untuk tahun 2019, kata Soo Kiong.


SunCon mempunyai pelbagai projek yang sedang berjalan termasuk Sunway GEO residence, Sunway Serene, pakej Transit Aliran Massa (MRT) S201 dan perkembangan komersial lain, pusat perubatan, keretapi, infrastruktur dan kerja cerucuk.


"Kami berminat dengan sebarang peluang yang diberikan kepada kami termasuk projek ECRL dan Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar pusingan ketiga (LSS3).


"Kami meneroka peluang untuk membida bagi projek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek berkaitan solar," kata Soo Kiong.



11 views
bottom of page