top of page

SunCon dapat kontrak pembinaan RM865.87 juta


Sunway Construction Group Bhd (SunCon)

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Sunway Construction Group Bhd (SunCon), Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB) menerima dua surat anugerah daripada Sunway Velocity Two Sdn Bhd (SVTSB) dan Sunway Medical Centre Sdn Bhd (SMCSB) bagi pembangunan projek bernilai RM865.87 juta.


SunCon berkata, dengan surat anugerah itu, SCSB akan terbabit dalam pengendalian bangunan utama dan kerja-kerja luaran yang berkaitan bagi cadangan pembangunan komersial Sunway Velocity Two, iaitu projek Plot B di Kuala Lumpur dengan nilai kontrak RM253.56 juta.


"Projek itu dijangka bermula pada November tahun ini dan diunjurkan siap pada September 2023," kata SunCon dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu, SCSB akan melakukan kerja-kerja pembinaan utama bagi cadangan pembangunan Pusat Perubatan Sunway, iaitu projek Fasa 4 bernilai RM612.31 juta di Bandar Sunway, Selangor.


"Projek itu yang bermula pada Ogos 2018, dijangka siap pada Ogos 2022. Daripada jumlah kontrak itu, RM450 juta telah diambil kira untuk nilai perolehan kontrak sedia ada kumpulan," kata SunCon.


Ia juga berkata kedua-dua projek Sunway Velocity dan Pusat Perubatan Sunway Medical diharap dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan SunCon bermula daripada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 dan tahun-tahun berikutnya.


Jumlah projek baharu yang diperoleh SunCon Group tahun ini, termasuk dua projek baharu berkenaan berjumlah sehingga RM1.98 bilion, tambahnya.-BERNAMA



1,000 views
bottom of page