top of page

Sukar kesan kartel tender - JKR


Sukar kesan kartel tender - JKR

KUALA LUMPUR 8 Jan. - JABATAN Kerja Raya mengakui kewujudan kartel tender yang membarah teruk sehingga menafikan peluang kontraktor kecil bersaing sebagaimana dilaporkan Mingguan Malaysia Ahad lalu.


Jabatan itu dalam satu kenya­taan menjelaskan sukar untuk mengesan kegiatan kartel tersebut untuk tindakan lanjut.


Menurut jabatan tersebut, walaupun begitu, beberapa langkah telah diambil Kementerian Kewangan dan agensi-agensi berkaitan untuk membendung masalah tersebut daripada terus melarat.


“Kementerian Kewangan te­lah memperketatkan urusan perolehan kerajaan dengan mewajibkan penama yang berdaftar dalam Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK), Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dan Sijil Pusat Pendaftaran Kontraktor-kontraktor Kerja sahaja yang boleh menghadiri lawatan tapak.


“Sebagai pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan pendaftaran kontraktor, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga disarankan membuat pemantauan sewajarnya terhadap lesen-lesen yang telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Pada 6 Januari lalu, Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusif mendedahkan kewujudan kartel tender yang membarah teruk sehingga menafikan peluang kontraktor kecil bersaing selain menyebabkan kerajaan mengalami kerugian apabila sesuatu projek dijalankan.


Mengulas lanjut, jabatan itu memaklumkan, Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BKPU) yang mengeluarkan pendaftaran taraf bumiputera untuk kontraktor juga perlu membuat pemantauan serupa bagi memastikan masalah itu dapat dibendung.


Selain itu, katanya, kaedah sistem cut-off yang diguna pakai dalam penilaian tender telah dipersetujui Kementerian Kewangan masih relevan kerana mempunyai kelebihan tersendiri.


“Kaedah ini diguna pakai oleh semua kementerian, dan hasilnya pihak jabatan berjaya membendung isu ketirisan berbanding kaedah perolehan kerja lama yang berasaskan anggaran jabatan semata-mata mahupun penilaian berasaskan harga terendah.


“Isu kewujudan kartel boleh wujud dalam apa jua kaedah penilaian tender. Kewujudan kartel ini berlaku apabila seorang kontraktor menggunakan lesen kontraktor yang berlainan untuk membeli beberapa dokumen tender dan seterusnya memasuki tawaran tender,” katanya.


Jabatan itu menambah, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kewujudan aktiviti kartel dalam mana-mana tender JKR supaya membuat aduan bukan sahaja kepada Kementerian Kewangan, tetapi juga kepada CIDB, BPKU, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC).


Sumber: Utusan


137 views
bottom of page