top of page

Suhu tinggi, pencemaran udara tingkat risiko kematian


UDARA di Thailand diselubungi asap tebal sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

NEGARA-negara di Asia Tenggara sedang berdepan gelombang haba ketika pencemaran udara berada pada tahap membimbangkan.


Pada pandangan pakar, hal ini merupakan satu bencana alam sekitar yang bukan sahaja membahayakan kesihatan, malah boleh mengancam nyawa manusia.


Dalam laporan media sekitar Asia Tenggara baru-baru ini, suhu tertinggi telah direkodkan di Bandar Tuong Duon, Vietnam yang mencecah 44.2 darjah Celsius, manakala 43.5 darjah Celsius di Luang Prabang, Laos.


Sementara itu, ibu negara Thailand, Bangkok turut mencatatkan rekod 41 darjah Celsius pada minggu lalu.


Ahli epidemiologi alam sekitar di Universiti Southern California (USC), Keck School of Medicine, Erika Garcia berkata, gelombang haba yang berterusan boleh mengancam nyawa, namun Vietnam dan Thailand berdepan risiko lebih besar.


“Vietnam dan Thailand juga diselubungi asap tebal sejak beberapa minggu kebelakangan ini.


“Gabungan haba melampau dan kualiti udara yang tidak baik boleh menyebabkan peningkatan penyakit pernafasan, kardiovaskular serta buah pinggang.


“Impak iklim ini akan meningkatkan kedua-dua gelombang iaitu haba dan pencemaran udara,” katanya kepada media antarabangsa.


Dalam kajian diterbitkan oleh American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine pada tahun lalu, Garcia dan rakan-rakannya meneliti apa yang berlaku apabila tahap pencemaran udara tinggi seiring gelombang haba di California, Amerika Syarikat.


Berdasarkan data dari 2014 hingga 2019, para penyelidik mendapati bahawa haba melampau mampu meningkatkan risiko kematian sekitar enam peratus.


“Kepekatan bahan zarah yang tinggi di atmosfera, sebahagiannya disebabkan oleh kebakaran hutan dan jenis pencemaran udara lain.


“Ini meningkatkan risiko kematian kira-kira lima peratus.


“Bagaimanapun, apabila kedua-duanya berlaku pada masa sama, risiko kematian meningkat sebanyak 21 peratus,” ujarnya.


Sementara itu, seorang saintis projek di Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan di Colorado, Rajesh Kumar, berkata, haba melampau dan tahap pencemaran udara yang tinggi boleh memberi tekanan tambahan pada sistem kardiovaskular.

PEMANASAN global menjadikan gelombang haba lebih kerap berlaku pada kadar semakin teruk. – Gambar hiasan

Menurutnya, haba akan menyebabkan saluran darah mengembang dan pencemaran udara meningkatkan keradangan paru-paru serta seluruh badan.


“Jadi ini boleh meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan kardiovaskular yang lain.


“Impak kesihatan daripada haba melampau dan pencemaran udara adalah kebimbangan global ketika ini.


“Namun, risikonya semakin teruk di seluruh Asia sejak beberapa minggu dan bulan menjelang musim tengkujuh yang biasanya berlangsung dari Jun hingga Oktober,” kongsinya.


Tambahnya lagi, melihat Dataran Indo-Gangetik di Pakistan, India dan Bangladesh, pencemaran ozon tertinggi berlaku pada April serta Mei.


Ujarnya, ia sama seperti yang berlaku sekarang di Asia Tenggara.


Penyelidikan Kumar juga tertumpu pada pembangunan sistem amaran awal kualiti udara untuk negara membangun.


Sistem tersebut mampu memberikan amaran awal pencemaran udara sehingga 72 jam lebih awal.


Ia telah digunakan di New Delhi, India sejak tahun 2018.


Pada tahun ini, beliau dan rakan-rakannya juga berusaha untuk melancarkan sistem amaran awal yang serupa pada bahagian timur dan selatan Afrika.


“Pelepasan gas rumah hijau akan merendahkan kualiti udara di seluruh dunia.


“Pemanasan global pula menjadikan gelombang haba lebih kerap berlaku pada kadar semakin teruk.


“Gabungan kedua-dua risiko ini boleh mencetuskan krisis kesihatan awam


“Oleh itu, sistem amaran masa hadapan mungkin perlu menyatukan ramalan suhu serta pencemaran udara,” jelasnya lagi.


Dalam pada itu, Garcia memaklumkan, para pemimpin tempatan juga harus memberi tumpuan kepada campur tangan dan penyesuaian bagi golongan yang berisiko mengalami komplikasi kesihatan serius.


Sumber: Kosmo!

Comentarios


bottom of page