KUALA LUMPUR: Straits Inter Logistics Bhd (Straits) mendapat kelulusan Jabatan Laut Malaysia untuk Victoria STS (Labuan) Sdn Bhd (Victoria STS) membangunkan Hab Pemindahan Tenaga Kapal-ke-Kapal (STS) luar pesisir dalam had pelabuhan Teluk Victoria, Labuan.
Victoria STS adalah anak syarikat milik 70 peratus Fajar Maritime and Logistics Sdn Bhd, yang mana adalah anak syarikat 60 peratus milik Straits.
Hab STS akan menjadi projek tenaga perdana Straits yang akan terletak di dalam had pelabuhan kawasan perairan dalam Teluk Victoria yang merangkumi 3309 hektar yang menyokong enam dermaga STS awal dengan kedalaman air yang selamat hingga 30 meter.
Pembangunan itu akan memajukan pengenalan kemudahan pemindahan tenaga pelbagai fungsi canggih yang dapat menampung kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) hingga ukuran Q-Max dan kapak minyak mentah sangat besar (VLCC).
Fasa pertama hab STS akan dibangunkan infrastruktur canggih dan bersesuaian kargo LNG, gas petroleum cecair (LPG), gas etilena cecair (LEG) dan kargo petroleum dan minyak pukal.
Hab STS dijadualkan beroperasi pada suku keempat 2021 dan Victoria STS telah bekerjasama dengan dua rakan utama, MISC Maritime Services Sdn Bhd (MMS) dan STS Marine Solutions (Bermuda) Ltd (STSM) sebagai rakan kerjasama strategik bagi pembangunan hub.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Sri Ron Ho Kam Choy, berkata hab pemindahan STS baharu itu adalah satu pencapaian memberangsangkan bagi Straits Group.
Beliau berkata, selama bertahun-tahun, Straits dengan tekun membangun infrastrukturnya yang komprehensif dan memperluaskan pangkalan pelanggannya dan hab STS itu akan memulakan perjalanan syarikat berkenaan dalam ruang tenaga lestari dan alternatif.
"Dengan projek ini sebagai permulaan, Straits mahu menjadi pemain utama dalam industri tenaga lestari dan alternatif di samping perniagaan bunker dan operasi pelabuhan semasanya," katanya dalam satu kenyataan.
Ho berkata, projek hab pemindahan STS akan menghubungkan Labuan ke grid tenaga global dengan mewujudkan infrastruktur pemindahan untuk mengakses rangkaian perdagangan tenaga maritim.
Beliau berkata, fokus utama pihaknya adalah untuk bekerjasama dengan rakan industri khusus seperti MMS dan STSM untuk menjadikan Pelabuhan Teluk Victoria sebagai hab pemindahan tenaga LNG dan LPG utama.
Katanya, pihaknya juga yakin dapat memenuhi keperluan pelanggan penghantaran global utama dengan pelbagai penyelesaian maritim berkaitan tenaga.
"Selain itu, hab STS ini akan menjadi pemacu ekonomi tempatan baharu dengan kesan limpahan besar dan ketara kepada perkhidmatan maritim tempatan serta peluang pekerjaan untuk pekerja mahir dan separuh mahir.
"Ia juga akan menjadi pemangkin perniagaan berkaitan lain dalam sektor maritim Malaysia.
Syarikat akan memelihara alam sekitar, dengan rancangan untuk mendirikan terumbu buatan untuk penangkapan ikan lestari dan menjalankan program pemeliharaan karang dan program pemantauan air untuk membantu terumbu Labuan pulih," katanya.
Sumber: Berita Harian
Kommentare