Kuala Lumpur: Malaysia antara negara yang mencatatkan ketumpatan kilat yang tinggi di kalangan negara-negara di dunia.
Oleh yang demikian, perlindungan dari bahaya kilat adalah perkara utama bagi melindungi nyawa manusia dan harta benda musnah.
Sehubungan itu, Malaysia mula mengguna pakai piawaian IEC yang berkaitan iaitu MS IEC 62305: Bahagian 1-4 (2007).
Empat bahagian dari standard berkenaan menyediakan garis panduan komprehensif mengenai reka bentuk dan pemasangan sistem perlindungan kilat (SPK) dalam pelbagai jenis binaan, dari bangunan domestik hingga ke bangunan kompleks yang besar seperti hospital.
Bagi memastikan bangunan di Malaysia dilengkapi dengan SPK yang berfungsi dengan sempurna dan selamat, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengeluarkan Arahan Penguatkuasaan Pemakaian Standard Malaysia MS IEC 62305 – Protection Against Lightning pada tahun 2020.
Secara umumnya, sebelum pemasangan SPK dilakukan, pemunya atau pengurusan bangunan perlulah membuat penilaian risiko terlebih dahulu dengan melantik mana-mana orang yang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam melaksanakan penilaian risiko (Risk Assessment) dan hasil laporan penilaian berkenaan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada jurutera profesional dalam kejuruteraan elektrik atau kejuruteraan elektronik berdaftar dengan Lembaga Jurutera menurut Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
Sekiranya menerusi hasil penilaian risiko memerlukan pemasangan SPK, mana-mana orang yang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam melaksanakan reka bentuk SPK hendaklah dilantik. Reka bentuk tersebut seterusnya hendaklah mendapat pengendorsan daripada Jurutera Profesional dalam kejuruteraan elektrik atau kejuruteraan elektronik berdaftar dengan Lembaga Jurutera menurut Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
Seterusnya, pendawai yang diambil bekerja sepenuh masa oleh kontraktor elektrik atau unit pendawaian persendirian yang berdaftar dengan ST hendaklah dilantik untuk melakukan kerja-kerja pemasangan penyeliaan, penyiapan dan pengujian sistem SPK tersebut.
Arahan ini hendaklah diguna pakai oleh semua orang kompeten, kontraktor perkhidmatan elektrik, kontraktor elektrik, juru perunding, pemunya atau pengurusan bangunan di peringkat reka bentuk, pemasangan, penyeliaan, pengujian, pengoperasian dan penyenggaraan pepasangan sistem perlindungan kilat.
Arahan ini berkuatkuasa seperti berikut:
i. Bagi bangunan dalam proses perancangan dan pembangunan bangunan baru (new development), arahan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020.
ii. Bagi bangunan dalam proses pembinaan, arahan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2021.
iii. Bagi bangunan sedia ada, Arahan berkuatkuasa mulai tarikh berikut:
a. Pada 1 Januari 2021 bagi bangunan seperti hospital, institusi pengajian tinggi (IPT), bangunan perniagaan, bangunan perindustrian, bangunan kediaman kondominium, bangunan kediaman apartmen dan lapangan terbang;
b. Pada 1 Januari 2022 bagi bangunan seperti bangunan kediaman flat, sekolah dan bangunan kerajaan;
c. Pada 1 Januari 2023 bagi bangunan seperti bangunan kediaman atas tanah (selain bangunan kediaman yang dinyatakan pada perkara iii.a dan iii.b)
iv. Bagi bangunan selain daripada kategori bangunan yang disenaraikan pada perkara i, ii dan iii, Arahan ini akan terpakai dan bermula pada tarikh yang akan ditetapkan oleh ST dari semasa ke semasa.
Kegagalan mematuhi arahan ini adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 50E, Akta Bekalan Elektrik 1990 dan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara, ST amat mengambil berat aspek keselamatan orang ramai.
ST menggesa semua pihak memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan ini kerana sistem perlindungan kilat yang efektif dapat meningkatkan tahap keselamatan orang awam, sekali gus melindungi struktur bangunan dan harta benda dari panahan kilat.
Sumber: Harian Metro
Comments