top of page

SPRM siasat projek Pulau Jerejak


SPRM buka kertas siasatan terhadap UDA Holdings berhubung projek pembangunan Pulau Jerejak.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil individu berkaitan bagi membantu siasatan projek pembangunan Pulau Jerejak, Pulau Pinang.


Menurut sumber, SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap UDA Holdings berhubung projek berkenaan.


“Siasatan setakat ini tertumpu kepada pengumpulan dan penjejakan dokumen berkaitan perjanjian usahasama antara anak syarikat UDA Holdings, Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIRSB) dengan Q Island Deve­lopment (QID) bagi pembangunan Jerejak Rainforest Resort and Spa (JRRS).



“Sepasukan pegawai SPRM turut menggeledah dan mengambil dokumen daripada setiausaha syarikat yang me­nguruskan anak syarikat UDA Holdings,” katanya di sini semalam.


Projek pembangunan Pulau Jerejak menjadi kontroversi apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang ketika itu, Teng Chang Yeow mendakwa wujud ketidaktelusan dalam proses pembangunan pulau tersebut.


Pada November 2016, TIRSB memeterai perjanjian usaha sama dengan QID untuk membangunkan semula Jerejak Rainforest Resort & Spa (JRRS) dan kawasan seluas 32.37 hektar itu yang dimiliki oleh TIRSB.


TIRSB adalah syarikat usaha sama antara UDA Holdings Bhd dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan pe­ratusan ekuiti masing-masing 51 peratus dan 49 peratus manakala QID merupakan anak syarikat Ideal Property Group yang menjadi kontroversi dalam kes te­rowong dasar laut Pulau Pinang dan tiga lebuh raya.


Pada 2018, hasrat untuk mewartakan Pulau Jerejak sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) gagal apabila kerajaan negeri mengumumkan ia bakal dimajukan sebagai kawasan pembangunan baharu berskala tinggi yang dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang.


Pelan induk pembangunan semula pulau berkenaan sudah diluluskan kerajaan negeri dan merangkumi pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Jerejak dengan pulau besar, 1,200 unit kediaman, pangkalan khas tempat kapal layar dan bot (marina) serta hotel berstatus empat dan lima bintang.


Turut sama akan dibangunkan adalah taman tema, laluan berbasikal mengelilingi pulau sejauh 15.5 kilometer dan kemudahan infrastruktur berkaitan bagi menggalakkan aktiviti pelancongan negeri.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.


“Ya, kes ini dalam siasatan SPRM,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



29 views
bottom of page