top of page

SPRM siasat bekalan baju kalis api bomba


SPRM siasat bekalan baju kalis api bomba

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah melakukan siasatan berhubung pembekalan baju kalis api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi tahun 2016 seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.


Ketika ini, proses siasatan hampir selesai.


SPRM kini hanya menunggu keterangan daripada United Kingdom yang dipohon melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA).


SPRM telah menghantar contoh baju kalis api yang dibekalkan oleh kontraktor itu kepada Jabatan Kimia dan mengesahkan baju itu tidak selamat digunakan kerana tidak mengikut standard yang telah ditetapkan oleh JBPM.


Menurut SPRM, siasatan yang dijalankan oleh SPRM tidak menghalang atau menyekat perolehan atau pembelian oleh JBPM.


Sekiranya timbul sebarang keraguan berhubung isu yang sama, JBPM boleh menghubungi SPRM.


Sebuah media hari ini melaporkan SPRM telah merampas 6,000 baju kalis api di stor bomba di Balai Bomba Salak Tinggi bernilai hampir RM13.5 juta bagi tender dikeluarkan pada 2016.


Rampasan itu dibuat pada tahun 2017.


Laporan itu berkata, rampasan dilakukan SPRM selepas agensi antirasuah itu menerima aduan mengenai masalah pada baju kalis api dibekalkan syarikat pembekal.


Menurutnya, pemeriksaan makmal juga mengesahkan pakaian dibekalkan itu menggunakan bahan asas daripada plastik (polyster) yang mudah terbakar.


Sejak kes disiasat SPRM, sebanyak 3,800 baju kalis api dibatalkan pembeliannya pada 2017. Bagi 2018 pula, 6,000 baju kalis api yang setiap pasang berharga antara RM2,400 hingga RM2,500 turut dibatalkan pembelian.



42 views
bottom of page