KUCHING: Cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) supaya Skim Pembiayaan Rent-to-Own (RTO) diperluaskan, harus dilaksanakan bagi membolehkan lebih ramai pekerja bergaji rendah mampu memiliki rumah sendiri.
Kakitangan awam, yang hanya mahu dikenali sebagai Freddy, 32, berkata beliau amat berharap supaya lima syor yang dikemukakan REHDA itu dilaksanakan bagi meringankan beban pekerja bergaji rendah untuk memiliki rumah, khususnya di bandar.
Freddy berkata, beliau secara peribadi tertarik dengan skim pembiayaan RTO kerana yakin, ia dapat membantunya memiliki kediaman sendiri.
"Saya pernah memohon untuk membeli rumah PR1MA di Matang, Kuching, kira-kira empat tahun lalu, namun gagal kerana pendapatan saya ketika itu kurang RM2,500 sebulan, manakala isteri pula tidak bekerja.
"Sejak itu, kami hanya menyewa rumah hinggalah sekarang dengan kos lebih RM500 sebulan. Jika skim pembiayaan RTO dilaksanakan rumah yang saya sewa itu sudah pasti akan menjadi milik saya akhirnya nanti," katanya.
Selain memperluaskan skim pembiayaan RTO, REHDA mengesyorkan pengurangan cukai pendapatan sepanjang tempoh pembinaan rumah dan pengecualian cukai sekurang-kurangnya RM20,000 bagi pembelian rumah berharga RM500,000 ke bawah.
REHDA turut mencadangkan supaya kerajaan menggalakkan lebih banyak bank memperkenalkan skim 'Step-up-Financing' bagi merapatkan jurang pembelian rumah pertama.
Sumber: Berita Harian
Comments