top of page

Sistem pembayaran terbuka di semua stesen LRT, MRT, monorel tahun depan


Sistem pembayaran terbuka di semua stesen LRT, MRT, monorel tahun depan
Gambar hiasan


Sistem pembayaran terbuka di semua stesen LRT, MRT, monorel tahun depan

Kuala Lumpur: Pengguna perkhidmatan awam boleh menggunakan kemudahan pembayaran terbuka debit, kredit dan e-dompet di stesen Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel bermula tahun hadapan.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerja-kerja mengintegrasi sistem pembayaran baharu itu akan berlangsung tidak lama lagi dan dijangka siap digunakan di 140 stesen sekitar Lembah Klang.


"Ini bermakna di stesen-stesen LRT, MRT kita dapat menggunakan sistem pembayaran terbuka, maksudnya mereka boleh sahaja menggunakan kad kredit, atau kad debit dan sebagainya.


"Ia mengambil masa kerana pembekal sistem atau kontraktor yang dapat mengendalikan sistem itu mendapati ia agak rumit sebab setiap stesen mempunyai sistem sendiri.


"Jadi ia perlu diubah suai, bukannya mudah hendak laksanakan dalam masa satu atau dua bulan, ia mengambil masa setahun untuk semua stesen itu ditambah baik (sistemnya)," katanya ketika sesi pembentangan laporan prestasi Prasarana 2023 dan pelan 2024 di sini, hari ini.


Mengulas berkenaan gangguan perkhidmatan di laluan LRT Ampang/Sri Petaling susulan keretakan pada struktur landasan Anthony berkata laluan itu dijangka dibuka bulan hadapan selepas hampir setahun ditutup.


"Ia akan beroperasi semula pada akhir Februari 2024 selepas kerja-kerja pembaikan menyeluruh struktur jejambat dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya siap.


"Kerosakan di Stesen Bandaraya menyebabkan penumpang terpaksa turun di dua stesen iaitu Dang Wangi dan Masjid Jamek dan menaiki bas.


"Sekarang dalam fasa percubaan, dan kita akan fokus kepada pembaikan yang menelan belanja RM30 juta. Selepas itu kita akan ambil tindakan perundangan terhadap pemilik projek yang menyebabkan kerosakan," katanya.


Terdahulu media melaporkan kerosakan struktur jejambat dan tiang berhampiran laluan LRT Bandaraya serta Masjid Jamek dipercayai berpunca daripada pembinaan sebuah hotel 44 tingkat.


Kerosakan struktur itu mengakibatkan perkhidmatan LRT di Stesen Bandaraya tergendala sejak 27 Januari 2023.


Sumber: Harian Metro

Sistem pembayaran terbuka di semua stesen LRT, MRT, monorel tahun depan

Comments


bottom of page