IPOH: Sistem konsesi yang diamalkan dalam pemberian projek-projek kerajaan bukan bertujuan ‘membunuh’ kontraktor kecil sebaliknya membantu golongan itu terutama dari segi pembayaran yang disifatkan lebih teratur.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim berkata, pembayaran yang dibuat oleh syarikat konsesi itu lebih baik berbanding jabatan kerajaan di mana mengambil masa tiga ke empat bulan selepas projek diperakui siap.
Katanya, kelewatan pembayaran itu akan menjejaskan pusingan modal kontraktor untuk digunakan bagi projek seterusnya.
“Bagi kontraktor, perkara yang paling penting adalah bayaran. Contohnya bagi kontraktor kelas F, mereka dapat projek bernilai RM20,000 ke RM30,000 dengan untungnya dalam 10 hingga 15 peratus atau sekitar RM3,000.
“Tapi untung RM3,000 itu pun terpaksa tunggu sehingga tiga ke empat bulan untuk selesai. Jadi dalam tempoh itu, jika dapat projek baru macam mana mereka mahu pusing modal? Apa mereka mahu makan? Itu belum lagi modal untuk bayar pekerja,” katanya ketika ditemui di pejabat PKMM di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan konsesi mengawal projek kerajaan seperti pembinaan jalan, penyelenggaraan longkang dan memotong rumput menjadi punca kerja-kerja untuk kontraktor semakin menguncup hingga ada antara mereka terpaksa gulung tikar
Mengulas lanjut Jamaludin berkata, dakwaan wujudnya monopoli oleh syarikat konsesi juga tidak benar kerana kontraktor juga boleh memperoleh projek-projek kerajaan melalui kaedah cabut undi dan sebut harga.
“Ada yang kata, bila kerajaan beri syarikat konsesi projek, mereka (kontraktor) tiada kerja. Sebenarnya, untuk kontraktor G1, mereka akan dapat projek melalui dua kaedah iaitu melalui konsesi dan jabatan kerajaan.
“Apabila melalui jabatan kerajaan ini, mereka perlu buat cabut undi dan sebut harga. Jadi, tidak benarlah kalau beri kepada konsesi, mereka tidak dapat projek langsung.
“Semua dapat peluang yang sama iaitu daripada konsesi dan jabatan kerajaan khasnya bagi kelas G1,” katanya.
Tambah beliau, kewujudan syarikat konsesi juga banyak membantu kelangsungan kontraktor kecil apabila pembayaran turut dibuat selepas 50 peratus kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.
“Di Perak kita ada beberapa syarikat konsesi, salah satunya Empayar Indera. Setakat ini, tiada masalah pun dengan konsesi ini kerana pembayaran memang teratur dan sistematik.
“Mana-mana kontraktor yang telah menyiapkan separuh kerja-kerja selenggara, mereka boleh buat tuntutan kepada syarikat konsesi itu. Tidak perlu tunggu projek siap sepenuhnya seperti jabatan kerajaan,” katanya.
Sumber: Utusan
Comments