top of page

Kontraktor pembinaan tidak bayar gaji 600 pekerja, tertunggak RM3.8 juta


Situasi pergaduhan di antara pekerja dan majikan di sebuah tapak pembinaan kilang yang dilaksanakan pelabur asing di KKIP.

Kota Kinabalu: Kontraktor pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, diarah melangsaikan bayaran gaji kira-kira 600 pekerja yang tertunggak bulan lalu berjumlah kira-kira RM3.8 juta.


Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata syarikat, terbabit bersetuju membuat pembayaran berkenaan pada hari ini dan esok selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, semalam.


Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan selepas berlaku kes pergaduhan di antara pekerja dengan majikan warga asing dari Korea, kelmarin yang berpunca daripada kelewatan pembayaran gaji bagi bulan lalu.


"Kes ini berlaku semalam (kelmarin) dan mengikut sumber majikan serta pekerja yang dimediasi oleh Pengarah JTK Sabah sendiri, isunya ialah kelewatan pembayaran gaji bulan Mac.


"Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan, maknanya berlaku kelewatan gaji bulan Mac. Jadi berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea.


"Berikutan itu Pengarah JTK Sabah bersama Ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan. Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji yang tertunggak itu pada 17 dan 18 April," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Penduduk Kampung Darau, Manggatal, dekat sini, malam tadi.


Mustapha memberi reaksi itu ketika diminta mengulas rakaman video yang tersebar kelmarin memaparkan situasi pergaduhan di antara pekerja dan majikan di sebuah tapak pembinaan kilang yang dilaksanakan pelabur asing di KKIP.


Beliau berkata, JTK juga akan memastikan proses pembayaran gaji dilakukan seperti yang dijanjikan majikan, selain bersedia menerima jika ada lagi aduan daripada pekerja lain berhubung perkara sama.


"Bagi memastikan proses ini benar-benar berlaku, pegawai JTK akan berada di tapak pembinaan esok dan lusa (hari ini dan esok) untuk memantau dan mendengar kemungkinan ada lagi aduan pekerja lain," katanya.


Semalam, polis menahan dua pekerja yang disyaki memukul majikan warga Korea di tapak pembinaan sebuah kilang di KKIP yang dibangunkan syarikat dari Korea Selatan selepas mangsa membuat laporan polis.


Sumber: Harian Metro

85 views

Yorumlar


bottom of page