
KUALA LUMPUR: Serba Dinamik International Ltd (SDIL), anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd bekerjasama dengan pakar sistem automasi bangunan, Johnson Controls untuk projek Block 7, hab inovasi baharu di Bandar Perindustrian Abu Dhabi (ICAD), ZonesCorp.
Serba Dinamik berkata, Block 7 akan memanfaatkan platform Johnson Controls OpenBlue, rangkaian penyelesaian dan perkhidmatan bangunan komprehensif, syarikat itu mempunyai kepakaran mengenai bangunan selama 135 tahun dengan menggunakan teknologi digital yang canggih.
"Platform digital berasaskan teknologi awan, 'Johnson Controls', ia disepadukan dengan sistem pembinaan teras dan diperkukuhkan oleh rakan ekosistem, menghubungkan sistem yang secara tradisional terpisah untuk mewujudkan keupayaan baharu untuk penggunaan ruang yang lebih selamat, lebih tangkas dan mampan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Johnson Controls menyatakan hasratnya untuk meneroka ruang dalam pembangunan Block 7 sebagai makmal penyelidikan dan pembangunan untuk penyelesaian serta teknologi baharu dalam aplikasi bandar pintar.
Serba Dinamik berkata, kerjasama itu juga akan meneroka pilihan pembiayaan untuk pelaburan rakan kongsi untuk pembangunan Block 7.
Pembangunan Block 7 dimiliki oleh Block 7 Investments LLC, 99 peratus dimiliki oleh EFIRE Capital Holdings Ltd.
EFIRE dimiliki LIWA Investment Holding yang beribu pejabat di Abu Dhabi (51 peratus) dan SDIL (49 peratus).
Seperti diumumkan awal tahun ini, projek Block 7 akan berfungsi sebagai ekosistem bersepadu di ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan mendorong inovasi dalam bidang sains kehidupan dan teknologi serta memberikan penyelesaian inovatif untuk kehidupan lebih baik pada masa depan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, berkata kumpulan itu berazam menjadi penyedia teknologi moden yang holistik dan ia memerlukan golongan pakar khusus peringkat global untuk mengisi jurang berkenaan.
"Kepakaran Serba Dinamik dalam kecerdasan buatan, realiti terimbuh (AR), realiti maya, keselamatan siber dan robotik akan melengkapi dengan kepakaran Johnson Controls untuk menyediakan penyelesaian yang mampan melangkah ke depan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar Johnson Controls bagi Timur Tengah dan Afrika, Rolando Furlong, berkata syarikat itu mengubah persekitaran dengan membuat bangunan pintar, penyelesaian cekap tenaga dan infrastruktur bersepadu untuk memberi tenaga kepada bandar dan komuniti pintar.
"Kelestarian dan inovasi adalah elemen teras strategi syarikat kami dan rangkaian penyelesaian digital OpenBlue kami memberikan ruang pintar, sihat, cekap dan berdaya tahan.
"Kami gembira kerana kepakaran syarikat digunakan untuk projek Hab Inovasi Block 7," katanya.
Menurut Serba Dinamik, asas Hab Inovasi Block 7 akan menyediakan platform yang tiada tandingannya bagi inovator, akademik, penyelidik, dan pelajar untuk mencari aplikasi baru teknologi kontemporari dan mencipta inovasi dengan penyelesaian terkemuka di industri.
Terletak di persimpangan koridor pengangkutan utama E11 dan E30, Hab Inovasi itu berdekatan koridor pengangkutan di kawasan itu, ia menghubungkan jutaan pemuda Arab di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sekitarnya.
"Infrastruktur projek itu yang dijadualkan siap pada suku pertama tahun 2023, kini dibangunkan mengikut standard antarabangsa.
"Setelah siap, Block 7 akan menyediakan ruang kerja, institusi akademik, makmal, pusat penyelidikan, komuniti kediaman mewah, hotel, kemudahan runcit, E-arena dan taman tema digital," katanya.
Hab berkenaan juga akan menggunakan pendekatan unik untuk reka bentuk yang menggunakan sistem modular dan mematuhi amalan kelestarian terbaik dalam infrastruktur pintarnya. -BERNAMA
Sumber: Berita Harian
Comentarios