top of page

‘Senyap-senyap’ tutup bantuan kontraktor bumiputera?


PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). - UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 17 April – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan tender terbuka dalam perolehan kerajaan dilihat seperti secara senyap-senyap menutup satu daripada cabang bantuan yang telah diberikan kepada kontraktor bumiputera.


Menurut Biro Ekonomi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Mohammad Nizam Baharom, hal itu kerana kedudukan ekonomi bumiputera ketika ini masih lagi tertinggal jauh ke belakang khususnya mereka yang menjalankan perniagaan kontraktor.


“Jika kerajaan ingin menaikkan taraf bumiputera, tindakan untuk meningkatkan ekonomi golongan ini perlu dilakukan dan satu daripada cabangnya adalah dengan membuka peluang perniagaan yang telah diberi seperti sebelum ini.


“Tindakan mengetepikan kontraktor bumiputera atas dasar kesamarataan secara tidak langsung menidakkan hak istimewa kaum bumiputera. Walhal dalam Perkara 153 (6) Perlembagaan Persekutuan sudah menjelaskan mengenai hak istimewa bumiputera dalam urusan penyediaan permit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Mohammad Nizam berkata, lebih 40,000 kontraktor bumiputera kelas G1 hingga G7 didapati tidak aktif kerana kekurangan projek.


Lebih membimbangkan, beliau memaklumkan kontraktor G1 kelas F adalah golongan yang paling teruk terjejas dengan anggaran seramai 24,000 kontraktor mengalami masalah dari segi mendapatkan projek.


“Akibatnya golongan ini mengalami masalah aliran tunai untuk meneruskan perniagaan masing-masing. Kami minta kerajaan ambil tindakan segera bagi menangani isu ini dan jangan hanya sekadar berpeluk tubuh semata-mata.


“Dari segi daya saing, kontraktor bumiputera mempunyai lebih banyak pengalaman kerana kerajaan terdahulu sudah melahirkan ramai pakar dalam bidang pembinaan. Tindakan membuka tender kepada kontraktor luar akan menyebabkan kontraktor tempatan ‘terkubur’ di bawah kerajaan baharu,” katanya.



42 views
bottom of page