top of page

'Semua perjanjian projek 5G akan disemak semula'


'Semua perjanjian projek 5G akan disemak semula' Berita Harian www.bharian.com.my
Kerajaan sudah mengarahkan supaya semua perjanjian berhubung projek pelaksanaan 5G di seluruh negara disemak semula. - Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah mengarahkan supaya semua perjanjian berhubung projek pelaksanaan 5G di seluruh negara disemak semula.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan pelaksanaan perjanjian projek berkenaan tidak dilaksanakan secara telus.


"Tidak ada tender... (tiada) proses tender terbuka, jadi kita perlu menyemak semula untuk memastikan ia mematuhi prosedur kewangan yang ketat.


"Ia bagi memastikan semua perkara dijalankan dengan sewajarnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai projek 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB).


Anwar sebelum ini pernah menggesa supaya isu berkaitan pelaksanaan 5G oleh DNB dibahaskan di Dewan Rakyat.


Beliau dilaporkan berkata, pelaksanaan inisiatif kerajaan itu perlu diperincikan bagi memastikan ketelusan dari segi kos dan syarikat pelaksana pembangunan infrastruktur itu tidak dipertikai kelak.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Datuk Zahidi Zainul Abidin, dilaporkan berkata, pelantikan DNB bagi pelaksanaan teknologi internet 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan tanpa melalui perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terlebih dulu.


Sumber: Berita Harian


2 views
bottom of page