top of page

Semakan semula penstrukturan perjanjian lebuh raya di peringkat akhir


Kerajaan sedang dalam peringkat akhir perbincangan semakan semula pengurangan kadar tol secara purata sebanyak 18 peratus. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Proses penstrukturan semula perjanjian konsesi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kini di peringkat akhir perbincangan.


Perbincangan itu membabitkan dua pihak berkepentingan dan empat kementerian serta agensi kerajaan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kajian semula keputusan penstrukturan yang dimuktamadkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai asas tersendiri.


Katanya, langkah sedemikian diambil bagi memastikan terma dan syarat dalam keputusan baharu berhubung penstrukturan semula konsesi PLUS yang 51 peratus pegangannya dimiliki Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berupaya ditambah baik.



"Memang betul sebelum ini ada kenyataan daripada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) bahawa kajian semula penstrukturan konsesi ini dibuat kerana penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi kenderaan kelas pertama memberi kesan kepada operasi lebuh raya lain.


"Ia kenyataan yang tidak perlu dipertikai, namun saya nak tekankan bahawa kajian semula dibuat sebab kita nak buat benda lebih baik, cuma terlalu awal untuk nyatakan penyelesaian usaha ini.


"Kalau kita berhasrat untuk kaji semula, sekadar jadi lebih teruk, buat apa kaji semula, sebaliknya keputusan ini supaya dapat mewujudkan terma yang lebih baik.


"Keputusan tidak boleh dibuat lagi kerana masih dalam perbincangan peringkat akhir bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Kerjasama Awam Swasta di Unit Perancang Ekonomi (EPU)," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) mengenai asas di sebalik keperluan melaksanakan kajian semula keputusan penstrukturan konsesi PLUS yang dimuktamadkan antara pihak berkepentingan dan kerajaan PH, pada awal Januari lalu.


Susulan keputusan itu, diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus, berkuat kuasa 1 Februari lalu diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.


Tol untuk kelas kenderaan komersial kekal pada kadar semasa tanpa peningkatan sehingga tamat konsesi yang dilanjutkan dari 2038 kepada 2058.


Menyentuh dasar perbincangan, Mustapa berkata, kajian semula penstrukturan itu akan mengambil kira kepentingan pihak berkepentingan, iaitu Khazanah/UEM Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), masing-masing dengan 51 peratus serta 49 peratus pegangan akuiti dalam PLUS.


"Kita rasakan penyelesaian dibuat PH boleh diperbaiki lagi, itu sebab kajian semula dilakukan dan ia bukan bertujuan untuk memudaratkan keadaan.


"Tanggapan bahawa keputusan kajian semula penstrukturan hanya mengundang kesan buruk adalah andaian tidak benar," katanya.



7 views
bottom of page