Selangor laksana PKPBD




KERAJAAN Selangor memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) bermula esok.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan PKPBD dengan pertambahan perincian itu membabitkan perniagaan makanan, industri pembinaan dan sektor sosial.


"Restoran, penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan beroperasi mulai esok terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran dari jam 7 pagi hingga 10 malam.


"Peniaga tiada berpremis termasuk penjaja tepi jalan dan trak saji (food truck) hanya dibenarkan beroperasi selepas 12 Mei depan bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga mempunyai cukup masa untuk mengatur persediaan untuk penjarakan sosial dan 'contact tracing'.


"Sementara itu, pasar malam, pasar pagi, jualan karnival, bazar Ramadan dan Aidilfitri tidak dibenarkan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Amirudin berkata, industri pembinaan pula dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum tetapi syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19.


"Ini bagi membolehkan pihak terbabit mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing terlebih dulu," katanya.


Sementara itu, katanya, bagi sektor sosial, orang awam dibenarkan melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakan sosial.


"Kegiatan di taman awam seperti Tasik Shah Alam, Taman Jaya dan Tasik Cempaka tidak dibenarkan.


"Semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan berbumbung atau tertutup seperti kolam renang dan gimnasium masih ditutup.


"Aktiviti hiking seperti di Bukit Gasing juga tidak dibenarkan. PBT akan mengeluarkan notis susulan senarai taman awam yang dilarang buat orang awam sewaktu PKPBD ini," katanya.


Beliau berkata, keputusan ini terpakai kepada seluruh Selangor kecuali di zon merah Selayang Baru buat masa ini, manakala bagi butiran lain adalah berdasarkan ketetapan dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikeluarkan terdahulu.


"Semua sektor adalah ditegaskan melaksanakan amalan penjagaan kesihatan yang baik seperti pemakaian topeng muka, amalan pencucian tangan yang kerap dan mengelakkan dari menyentuh muka," katanya.


Katanya, kerajaan negeri turut memperkenalkan suatu sistem pengesanan kontak yang komprehensif bagi melengkapi usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan diperkenalkan esok.


"Kerajaan negeri menyedari tanggungjawab untuk mengimbangi keperluan ekonomi dan kemaslahatan rakyat.


"Justeru, langkah bertahap yang dilaksanakan amat perlu sebagai sebahagian dari pendekatan 'soft landing' supaya kesan wabak Covid-19 ini dapat ditampan dengan lebih baik," katanya.


Amirudin berkata, sebelum keputusan itu dibuat kerajaan negeri sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan pertemuan sebelum dan selepas pengumuman PKPB oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Selangor #MBSA

7 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.