top of page

Sektor pembinaan rugi RM42 bilion


Industri pembinaan dianggar menanggung kerugian sebanyak RM42 bilion berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu hingga kini. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan dianggar menanggung kerugian sebanyak RM42 bilion berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu hingga kini.


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun hingga bulan ini.


"Sementara bakinya RM24 bilion adalah kerugian daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan pelaksanaan kerja pembinaan daripada Mac hingga Julai," katanya menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang mahu tahu apakah cabaran yang dihadapi sektor pembinaan dan bantuan dalam mendepani cabaran COVID-19.


Fadillah berkata, susulan pelaksanaan PKP serta kenaikan harga bahan binaan, kerajaan mempertimbang untuk mewujudkan semula peruntukan pengiraan klausa perubahan harga (VOP) dan mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan.


"Kita telah angkatkan kepada Kementerian Kewangan untuk VOP. Alhamdulillah, Kementerian Kewangan telah pun bersetuju dan meluluskan dengan menguatkuasakan pekeliling baharu iaitu PK 2.4, pelaksanaan syarat perubahan harga dalam kontrak kerja pada 15 Julai 2021.


"Pekeliling ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 hingga 30 Disember 2021. Jadi bahan-bahan yang diluluskan adalah untuk kerja-kerja termasuklah kerja kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal.


"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pula telah melaksanakan pemantauan harga binaan dan menerbitkannya melalui portal National Construction Cost atapun myn3c.


Harga bahan-bahan ini akan dikumpulkan melalui kerjasama dengan beberapa persatuan berkaitan pembinaan dan diperoleh daripada kontraktor," katanya.


Katanya, kenaikan harga barang binaan adalah antara cabaran yang dihadapi oleh sektor pembinaan sepanjang tempoh PKP. Walaupun harga bahan binaan kini stabil susulan pembukaan semua sektor ekonomi, kementerian akan terus memantau bagi memastikan ia terkawal.


Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh (PEJUANG-Sri Gading) mengenai bantuan CIDB kepada kontraktor kecil yang terjejas, Fadillah berkata, pengecualian bayaran dikenakan kepada personel binaan tempatan yang menghadiri kursus latihan.


Selain itu, katanya bagi pengambilan pekerja asing, mereka diberi diskaun 50 peratus bagi penilaian kepada pekerjaan asing untuk mendapatkan sijil iaitu kad hijau dan sebagainya.


"Kerajaan telah banyak membantu khususnya kontraktor G1 sehingga G4. Ada pakej tertentu khususnya untuk penyelenggaraan jalan dan sebagainya yang diberi peruntukan sebanyak RM400 juta sebagai tambahan," katanya.


Sumber: Berita Harian

28 views

Comments


bottom of page