KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menyekat kemasukan pekerja warga asing dari Filipina, India dan Indonesia dijangka menjejaskan sektor pekerjaan yang banyak bergantung kepada golongan itu.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata warga asing dari tiga negara terutama Indonesia adalah penyumbang tenaga buruh yang signifikan di negara ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibimbangi bukan saja akan menjejaskan ekonomi negara malah turut merugikan majikan yang perlu menanggung bayaran levi pekerja asing sehingga RM10,000.
"Sedikit sebanyak kita akan terkesan. Warga Indonesia basnyak menyumbang kepada pekerjaan di sektor pembuatan, perladangan dan pembinaan. Filipina pula sektor kejuruteraan khususnya minyak dan gas.
"Sekatan masuk pekerja dari India juga akan memberi kesan kerana banyak warga dari negara itu bekerja dalam bidang pengkomputeran dan perkhidmatan selain seperti bekerja di restoran 24 jam di negara ini.
"Apabila kita tak benarkan mereka masuk semula bermakna akan menyebabkan kerugian kerana levi sudah dibayar sebelum ini.
"Apabila ini berlaku, kerajaan harus memberi rebat untuk jumlah masa yang tidak dapat gunakan itu. Seharusnya rebat itu dikembalikan kepada majikan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang membabitkan warga asing dari Indonesia, India dan Filipina berkuat kuasa pada Isnin ini berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di tiga negara itu.
Pengumuman itu dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam, yang memaklumkan sekatan itu itu merangkumi enam kategori iaitu mereka yang memegang status pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata keputusan itu akan memberi kesan kepada majikan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan syarikat tempatan mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih berada dalam negara bekerja selepas melalui proses pemutihan.
"Indonesia banyak pekerja terlatih untuk buat kerja berat, kotor, sukar dan berbahaya. Tidak ramai orang kita mampu bekerja dalam sektor itu. Kerja berat sebegini masih memerlukan orang seperti mereka.
"Justeru, kita merayu kerajaan supaya menjalankan proses pemutihan pekerja asing yang tidak miliki dokumen dan sebagainya serta masih ada dalam negara ini untuk dibenarkan bekerja dalam sektor berkaitan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments