top of page

Segerakan projek LRT Pulau Pinang


Jambatan Pulau Pinang
KERAJAAN Persekutuan perlu memastikan projek LRT tidak menjejaskan perkhidmatan bas di Pulau Pinang sehingga berlaku pembuangan pekerja.

SAUDARA PENGARANG,

DENGAN pengumuman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kos pembinaan transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang, maka projek itu wajar disegerakan.


Ini kerana terdapat keperluan mendesak untuk projek perhubungan moden terbabit disegerakan dalam menangani isu kurang keberkesanan pengangkutan awam di kawasan sebelah pulau negeri itu.


Penduduk negeri itu amat berterima kasih kerana Perdana Menteri yang juga anak Pulau Pinang telah memberikan komitmen tinggi bahawa projek LRT berkenaan dapat direalisasikan demi mengatasi soal pengangkutan awam yang semakin meruncing.


Bagaimanapun, pada waktu sama, pengangkutan awam darat sedia ada seperti perkhidmatan bas Rapid Penang dan sebagainya wajar diberikan perhatian agar tidak terjejas termasuk berlakunya pembuangan pekerja akibat impak pelaksanaan projek LRT berkenaan.


Malah, diharapkan janji pembangunan pengangkutan awam ‘atas angin’ berkenaan bukanlah hanya retorik atau sekadar ‘gempak Keling’ (cuba buat kejutan tetapi tidak jadi) politik semata-mata.


Sesungguhnya komitmen Anwar untuk melaksanakan projek mega tersebut adalah tepat pada masanya.


Soal bagaimana kos pembiayaan projek LRT berkenaan akan diperoleh bukan urusan rakyat negeri itu untuk mempertikaikannya.


Jika dipertikaikan bererti mempertikaikan pengumuman serta komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri.


Merealisasikan projek berkenaan yang dicanangkan semenjak 2013 lagi bagai sirih pulang ke gagang, cuma bezanya terminologi agak lebih moden dengan kos mencecah berbilion ringgit.


Difahamkan, di era kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) diterajui oleh DAP lagi telah wujud cadangan jajaran pengangkutan awam dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Bayan Lepas dengan kos ditanggung oleh kerajaan negeri.


Namun, pelan asal cadangan projek berkenaan telah ditukarkan kepada projek berbentuk mega, iaitu LRT dengan jajaran perjalanannya tidak berubah dengan kos mencecah berbilion ringgit dibiayai sepenuhnya hasil daripada pembangunan projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) atau kini lebih dikenali Penang South Island (PSI).


Bagaimanapun, pengumuman rasmi dibuat oleh Perdana Menteri merupakan suatu keabsahan bahawa kos pembinaan LRT berkenaan bukan lagi sebahagian daripada kos PSI.


Oleh demikian, tiada sebarang implikasi apabila kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam projek PSI sepertimana diarahkan Anwar.


Keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon walaupun diteruskan turut dikecilkan, iaitu daripada 1,821 kepada 930.8 hektar.


Justeru, secara teori mudah dikatakan penduduk negeri ini berpendirian bahawa pembangunan serta pelaksanaan projek LRT itu wajar disegerakan serta dijadikan keutamaan atas dasar keperluan segera bagi mengatasi masalah kesesakan trafik yang semakin kronik di kawasan pulau.


Sekiranya berlaku lagi sebarang peralihan kepimpinan Kerajaan Persekutuan selepas ini, maka adalah wajar pelaksanaan projek LRT berkenaan diteruskan kerana ia bermanfaat kepada rakyat negeri itu.


Cuma yang dibimbangkan akan berlaku kemudaratan kepada rakyat negeri ini jika projek LRT dijanjikan tidak direalisasikan.


RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik dan anak Pulau Pinang


Sumber: Utusan

bottom of page