top of page

'Saya tak kenal syarikat itu, bukan kroni'


'Saya tak kenal syarikat itu, bukan kroni'

MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, hari ini menafikan beliau memberikan Kelulusan Permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai secara rundingan terus kepada empat syarikat yang didakwa milik kroninya.


Dr Xavier menegaskan laporan yang diterbitkan sebuah portal berita semalam, adalah tidak benar bahkan beliau mendakwa portal berita itu dimiliki UMNO.


“Pertama sekali, laman portal berita itu adalah milik ‘cybertroopers’ UMNO dan semua maklumat yang terkandung di dalamnya adalah tidak benar sama sekali.


“Ada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meneliti permohonan-permohonan yang diterima, sebelum ia dikemukakan kepada menteri, itulah prosedur yang diamalkan selama ini.


“Saya beri kelulusan tetapi saya tidak kenal satu pun daripada syarikat-syarikat itu. Ia dicadangkan oleh jawatankuasa berkenaan dan menteri mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan... tidak perlu dibawa ke kabinet,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah, Seremban, hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Xavier turut menafikan pembabitan perdana menteri dan menegaskan tidak ada keperluan untuk Kabinet membincangkan perkara berkenaan.


Katanya, bagi pengeksportan bahan seperti pasir yang tersenarai dalam Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017, lesen eksport AP perlu diperoleh terlebih dahulu daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur ditetapkan.


“Sebelum pertimbangan dan kelulusan menteri diberikan, syarikat-syarikat berkenaan perlulah terlebih dahulu memenuhi syarat yang ditetapkan dan sudah memperoleh kelulusan daripada kerajaan negeri yang mana sumber pasir itu diperoleh.


“Oleh yang demikian, tidak berbangkit isu rundingan terus seperti yang dilapor, memandangkan mana-mana syarikat boleh mengemukakan permohonan untuk mengeksport pasir sekiranya memenuhi syarat,” katanya.


Menurut beliau, terdapat permintaan untuk mengeksport pasir, tetapi beliau menasihati pihak yang terbabit supaya mematuhi Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan kajian hidrologi di kawasan yang akan dikorek.


“Kita juga ada persetujuan dengan Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kalau keperluan untuk pasir dalam negara meningkat, kelulusan eksport akan dihentikan,” katanya.


Dalam pada itu, Dr Xavier berkata pihak kementerian memandang serius penyiaran dan penularan dokumen rasmi dalaman dan akan mengadakan siasatan dalaman bagi memastikan agar kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa depan.


Sumber: Harian Metro


38 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page