top of page

Sarjana muda teknologi segarkan aliran TVET



INISIATIF penawaran program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology - B.Tech) oleh Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) adalah satu pencapaian bersejarah dan mercu tanda yang penting dalam melengkapkan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.


Rangkaian MTUN terdiri daripada empat universiti awam iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Penawaran program itu adalah isyarat penting kesungguhan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan TVET sebagai pemacu kemajuan Malaysia.


Ia sekali gus akan menyegarkan semula aliran TVET Malaysia dengan nafas baharu yang mengangkat martabat TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan bukan lagi alternatif kelas kedua sebagaimana persepsi negatif sesetengah pihak sebelum ini.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sinergi pelbagai pihak yang merentasi pelbagai sektor dalam pembangunan kurikulum B.Tech menjadikan program itu amat praktikal dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan negara kini dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).“


Program ini juga ditanda aras dengan program Meister di Republik Persekutuan Jerman.“

Malaysia-German Chambers of Commerce and Industry (MGCCI) juga memaklumkan kesediaan untuk menjadi rakan kerjasama MTUN bagi memastikan graduan B.Tech menerima Meister Germany yang diiktiraf oleh lebih 400 syarikat yang bernaung di bawah MGCCI,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Gambang, Pahang.


Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.


Dalam pada itu, Dr Wan Azhar berkata, program Sarjana Muda Teknologi MTUN menjadi program artikulasi untuk pelajar lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan penekanan komponen kemahiran amali untuk mengiktiraf kemahiran aliran TVET sebagai agenda memperkasakan TVET.“


Program ini bakal ditawarkan kepada calon yang layak mulai sesi pengambilan pada September ini meliputi 10 bidang teknologi iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas, Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Teknologi Pembinaan Bangunan, Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara Industri, Teknologi Automasi Elektronik Industri, Teknologi Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan serta Teknologi Hospitaliti mengikut bidang fokus setiap universiti MTUN berkenaan.“


Selain itu, penawaran program ini adalah inisiatif artikulasi bagi maksud pensiswazahan lepasan DVM/DKM/DLKM daripada pelbagai saluran institusi penyedia TVET pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan kemahiran ketukangan dalam 10 bidang teknologi itu,”m katanya.


Sumber: Harian Metro


18 views
bottom of page