top of page

Sarawak tidak obses kawal minyak


KUCHING: Sarawak tidak obses mahu mengawal sumber minyak dan gas miliknya, namun sekadar mahukan perkongsian hasil yang lebih adil demi kelangsungan pembangunannya.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri tidak mahu lagi ‘berputih mata’ melihat kemajuan di negeri lain sedangkan hasil minyak dan gas diambil dalam kawasan wilayah ini.


“Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan PETRONAS meneroka peluang bagi mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak. Banyak dana diperlukan Sarawak untuk menanggung kos pembangunan di seluruh negeri, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.


“Kita juga mahu berterima kasih kepada PETRONAS kerana banyak membantu ‘Anak Sarawak’ dalam sektor gas dan minyak menerusi sistem vendornya,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) dan PETRONAS, di sini, hari ini.


Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah.


Menerusi MoU itu, Serba Dinamik akan bertanggungjawab dalam aspek kawal selia, pembinaan dan ubah suai (ONMCM) kepada fasiliti PETRONAS di Bintulu dan Miri membabitkan nilai kontrak RM313 juta.


Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan negeri menerusi PETROS dan PETRONAS masih melakukan rundingan bersama untuk mencari formula berkesan meningkatkan penguasaan negeri dalam sektor minyak dan gasnya.


“Hari ini, harga minyak mentah brent sekitar AS$68 (RM275) setong dan perkiraan dalam bajet Sarawak tahun ini membabitkan AS$60 (RM243) setong. Jadi, kalau ada lebih, kerajaan negeri dapat bonus dan jika harga minyak naik, untung PETRONAS juga naik,” katanya.



20 views
bottom of page