top of page

Sarawak serah isu pintu gerbang Temajok kepada KDN


Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bersama rombongan meninjau batu sempadan Malaysia-Indonesia dengan pintu gerbang Temajok yang berada di dalam kawasan Malaysia di belakang mereka. - NSTP/Mohd Roji Kawi

SEMATAN: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membincangkan dengan Indonesia mengenai kedudukan pintu gerbang wilayah Kalimantan Barat di Temajok yang dibina beberapa meter dalam kawasan Malaysia.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK Malindo) antara pegawai kanan kedua-dua negara.


"Saya maklum mengenainya dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu (kedudukan pintu gerbang Indonesia) kepada KDN.


"Tumpuan kerajaan Sarawak sekarang hanyalah meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan," katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Pos Pemeriksaan Sempadan Sementara, Majlis Pecah Tanah Masjid dan Projek Anjung Usahawan Telok Melano, di sini, hari ini.


Tinjauan mendapati, pintu gerbang Temajok dalam wilayah Kalimantan Barat itu dibina kira-kira 10 meter di dalam kawasan Malaysia.


Abang Johari berkata, kawalan keselamatan dan peningkatan sosio ekonomi di Telok Melano menjadi keutamaan kerajaan Sarawak apabila kawasan penempatan terakhir di sebelah barat Sarawak itu kini dapat dihubungi dengan jalan raya.


Berikutan itu katanya, kerajaan Sarawak membina Pos Kawalan Sempadan Sementara antara Telok Melano dan Temajok bagi membolehkan kawalan dilaksanakan dengan lebih teratur.


Pos sementara yang dibina dengan kos RM500,000 akan menempatkan anggota penguat kuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sementara menunggu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) kekal dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).


Menurutnya, sejak fasa pertama Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Sematan-Telok Melano dibuka Januari tahun lalu, kawasan berkenaan bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan malah penduduk dari negara jiran turut memasuki negeri ini menggunakan laluan antara Telok Melano dan Temajok.


"Sebab itu, Kompleks KIK kekal perlu dibina dan tapak seluas tujuh hektar disediakan untuk projek fasiliti yang lengkap dengan kos dianggarkan lebih RM20 juta.


"Pembinaan KIK itu akan memastikan kawalan lintas sempadan akan lebih teratur, tambahan pula Telok Melano kini semakin menjadi tumpuan ramai," katanya.



13 views
bottom of page