top of page

Sapura Energy sedia teroka industri RE



KUALA LUMPUR: Peserta industri minyak dan gas (O&G), termasuk Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) kini bersiap sedia untuk meneroka bidang tenaga boleh diperbaharui (RE).


Ia berdasarkan prospek cerah bidang tenaga alternatif itu yang diperkukuhkan lagi dengan petunjuk bahawa syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS kini meninjau sumber tenaga baharu iaitu solar, angin dan bahan api bio pada skala komersial.


Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin, berkata RE menyediakan potensi besar jika berjaya diterokai kumpulan itu dengan menjangkakan potensi sumbangan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus kepada pendapatannya pada masa depan.


Justeru, katanya, kejayaan syarikat meraih kontrak pertama pemasangan turbin angin di laut adalah perkembangan penting, kerana tenaga alternatif itu adalah bidang baharu yang dapat memanfaatkan sepenuhnya aset sedia untuk digerakkan kepada industri berbeza selain projek pembinaan berkaitan O&G.

“Jika PETRONAS meneroka dalam bidang yang memerlukan keupayaan pembinaan, sudah tentu kami bersedia mengambil peluang ini. Sebagai pihak industri kami perlu mempersiapkan diri dengan meningkatkan keupayaan syarikat, kejuruteraan dan modifikasi kepada proses.


“Proses dalam bidang RE itu sendiri sangat berbeza, walaupun kita menggunakan aset yang sama namun standard RE berbeza dari segi keperluan kejuruteraan dalam memastikan operasi yang selamat, cekap dan amalan terbaik untuk pemasangannya,” katanya di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas memenangi satu tender pemasangan turbin angin, Sapura Energy kini membida untuk dua lagi tander kerja pembinaan turbin angin di Eropah selain meninjau pasaran lain terutama di benua Amerika.


Katanya, untuk tujuan itu, pihaknya bersedia menggunakan aset kapal Derrick Lay termasuk Sapura 3000 (kapal dengan kren berkuasa tinggi mengangkat muatan berat dan pemasangan paip), SAPURA 3500 (kapal kren berprestasi tinggi luar persisiran), dan Sapura 2000.


“Semua kapal kami ini boleh melaksanakan tugas pembinaan ladang jana kuasa angin di lautan dengan membabitkan kerja pemasangan pilon (menara kawat elektrik) dan tapak turbin angin.


“Penerokaan kami dalam bidang RE tidak menggunakan sebarang peruntukkan perbelanjaan modal kerana menggunakan aset yang sama, namun ia menjana margin keuntungan yang sama dengan kerja-kerja pembinaan O&G kini,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata, kumpulan yakin untuk kembali mencatatkan keuntungan tahun ini apabila kapasiti operasi aset bagi dua segmennya iaitu penggerudian; dan kejuruteraan dan pembinaan (E&C) mencapai 70 peratus.


Sapura Energy menyasarkan untuk meraih RM3 bilion projek baharu untuk baki tahun kewangannya tahun ini yang akan melonjakkan tempahan projeknya kepada RM22 bilion daripada RM17.2 bilion yang dicatatkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2019.



67 views
bottom of page