KOTA KINABALU: Tidak sesuai untuk menangguhkan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah yang masih berdepan dengan masalah peruntukan yang tidak mencukupi.
Justeru, kerajaan negeri memberi jaminan untuk merayu kepada kerajaan Persekutuan sekiranya projek-projek pembangunan di Sabah ditangguh.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau memberi jaminan akan cuba sedaya upaya merayu kepada Persekutuan sekiranya ada dasar menangguhkan projek pembangunan di Sabah.
“Walau bagaimanapun, sehingga hari ini kita belum menerima keputusan untuk menangguhkan sebarang projek pembangunan (di Sabah).
“Namun, sekiranya perkara ini sampai ke pihak negeri, kita akan merayu dan meminta kerajaan Persekutuan supaya tidak tangguhkan peruntukan yang diberi kepada Sabah.
“Ini penting kerana kita selalu menyatakan peruntukan kepada Sabah tidak cukup, sudahlah tidak cukup, kalau ditangguh lagi, ini tidak berapa sesuai untuk Sabah,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Seri Salleh Tun Said (BN-Usukan) mengenai keputusan kerajaan Persekutuan menangguhkan projek-projek besar bagi menstabilkan ekonomi negara.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan kerajaan akan menangguh atau membatalkan mana-mana projek yang belum dilaksanakan bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.
Ia sebagai satu inisiatif penjimatan bagi membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan demi kesejahteraan rakyat di negara ini.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai isu kekurangan buruh yang dihadapi di negeri ini, Hajiji berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menangani isu buruh terutama dalam sektor perladangan.
Menurut Hajiji, sekiranya isu buruh tidak dapat diatasi, ia pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Bagi menangani isu kenaikan harga bahan mentah termasuk dalam sektor pembinaan, satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat negeri untuk menangani harga barangan yang melonjak naik.
Jelasnya, semua kementerian terlibat akan meneliti isu-isu berkaitan secara serius kerana perkara itu membabitkan seluruh masyarakat.
“Kerajaan tidak berdiam diri, kita akan berusaha sebaik mungkin kerana perkara ini melibatkan kehidupan masyarakat,” katanya.
Sumber: Utusan
Comments